comscore
Tumpuan :
Nasional

Belasungkawa: Tun Hanif Omar, Ketua Polis Negara paling lama dan termuda

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Polis Negara (KPN) Allahyarham Tun Mohammed Hanif Omar melakar sejarah dalam perkhidmatan Sang Saka Biru sebagai individu paling muda dan lama menerajui tampuk kepimpinan pasukan keselamatan negara.

Allahyarham dilantik memegang jawatan Ketua Polis Negara keempat pada usia 35 tahun bermula 8 Jun 1974 menggantikan Tan Sri Abdul Rahman Hashim yang terbunuh ditembak komunis.

Mohammed Hanif, 85, yang menghembuskan nafas terakhirnya pada 2.15 pagi tadi akibat sakit buah pinggang memegang jawatan KPN selama 20 tahun sebelum bersara pada 15 Jan 1994.

28 Mac 1983: Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Musa Hitam (kiri) pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Pesuruhjaya-pesuruhjaya Polis dan Ketua-ketua Polis Negeri di Mes Pegawai Kanan Polis, Bukit Aman, Kuala Lumpur. Yang turut hadir Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar. – Foto fail NSTP

Setahun selepas memegang jawatan sebagai Ketua Polis Negara, Mohammed Hanif mengasaskan unit antipengganas elit, Unit Tindakan Khas (UTK) pada 1 Jan 1975 serta mengambil bahagian dalam operasi menyelamat dalam krisis tebusan bangunan AIA pada Ogos, tahun sama.

Selain itu, antara jasa beliau yang akan terus dikenang rakyat Malaysia ialah menamakan Balai Polis Bluff Road kepada Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman pada 25 Mac 1975.

Pada 8 Jun 1976, Mohammed Hanif mengumumkan semua rekrut polis akan berkhidmat dalam Pasukan Polis Hutan sebelum ditugaskan ke unit lain bagi memastikan semua anggota polis muda akan dapat menangani sebarang situasi kecemasan apabila mereka dilengkapi dengan latihan di dalam hutan.

Dilahirkan di Teluk Anson (kini dikenali Teluk Intan), Perak, Mohammed Hanif mendapat pendidikan awal di Sekolah Anglo-Chinese, kemudian melanjutkan pelajaran di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

7 Januari 1994: Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar (tengah) melihat model Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur yang berharga RM60 juta. – Foto fail NSTP

Mohammed Hanif meneruskan pengajian ke Universiti Malaya (UM) yang ketika itu bertempat di Singapura dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera pada 1959, seterusnya menyambung dalam bidang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Undang-undang dari University of Buckingham di London.

Liku-liku kerjayanya bermula sebagai Penolong Kadet Penguasa Polis pada 8 Jun 1959 sebelum memegang beberapa jawatan tinggi antaranya dilantik sebagai Ketua Polis Melaka pada 7 Sept 1970 dan Ketua Polis Selangor pada 6 Dis 1971, seterusnya menjadi Timbalan Ketua Polis Negara pada 1 Feb 1973.

Jasa dan keringat yang dicurahkan Mohammed Hanif dalam pasukan polis dan menjaga keselamatan negara terutama melibatkan peristiwa penting negara akan sentiasa dikenang antaranya sebagai Ketua Pegawai Turus (Polis) Majlis Gerakan Negara (18 Mei 1969) berkaitan insiden 13 Mei.

Antara peristiwa bersejarah lain ialah beliau bersama-sama dengan Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada Persidangan Manila berhubung dengan penubuhan MAPHILINDO pada 1963 dan beliau juga antara wakil kerajaan Malaysia dalam Perjanjian Damai yang dimeterai oleh Parti Komunis Malaya (PKM) dengan kerajaan Malaysia dan Thailand pada 2 Dis 1989 di Hat Yai, Thailand.

Tidak hanya mencurahkan bakti semasa dalam perkhidmatan, selepas bersara pada 15 Jan 1994, Mohammed Hanif juga dilantik sebagai ahli Suruhanjaya Memantapkan Pengurusan dan Operasi-operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari 2004 – 2005 dan figura tegas ini juga merupakan Penaung Yayasan Pengaman Malaysia serta Presiden Persatuan Diraja Asiatik Cawangan Malaysia (MBRAS).

Beliau turut terlibat secara aktif dalam dunia korporat apabila memegang beberapa jawatan penting antaranya Pengerusi Maxis Communication Berhad dan Timbalan Pengerusi Genting Berhad dan Resort World Berhad.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini