comscore
Tumpuan :
Nasional

Bertengkar guna parang, pemandu lori ditahan

Foto tangkap layar

SUNGAI PETANI: Polis menahan seorang pemandu lori berusia 35 tahun susulan video pertengkaran membabitkan suspek memegang parang dengan seorang individu tular di media sosial sejak semalam.

Video berdurasi 30 saat itu menunjukkan lelaki terbabit memegang parang sambil dileraikan oleh orang awam ketika pertengkaran berlaku dengan seorang pemandu lain.

Insiden dilaporkan berlaku di sebuah stesen minyak di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Gurun, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya mengesan kejadian itu melalui video yang ditular di media sosial Facebook (FB) pada jam 10 malam semalam berhubung pertengkaran membabitkan dua lelaki.

“Anggota Task Force Balai Polis Gurun dikerah ke lokasi dan menemubual pengurus stesen minyak yang memaklumkan kejadian berlaku pada 7.40 malam, 1 Julai lalu.

“Siasatan juga mendapati, pada jam 6.15 petang 1 Julai lalu, sewaktu suspek memandu lori keluar dari Hentian Bukit Kobah, Pendang (Lebuhraya Utara-Selatan), berlaku perselisihan faham antara dia dengan seorang lelaki yang memandu sebuah Ford Ranger.

“Ianya tercetus apabila pemandu Ford Ranger terbabit membunyikan hon kepada pemandu lori terbabit sehingga menyebabkan perselisihan faham antara mereka berterusan ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zaidy berkata, lelaki itu menyatakan yang dia diugut oleh pemandu Ford Ranger itu hingga menyebabkan dia mengeluarkan sebilah parang yang disimpan dalam lorinya.

Beliau berkata, pemandu lori itu kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Gurun pada jam 5.14 petang semalam.

“Berikutan itu, suspek ditahan jam 8.30 malam tadi untuk membantu siasatan.

“Usaha mengesan dan menahan pemandu Ford Ranger itu masih diteruskan.

“Sehubungan itu orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung pemandu Ford Ranger berkenaan atau saksi kejadian boleh menghubungi Inspektor Sabri Salamat di talian 014-6727927,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya (ABKLSB) 1958 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.

Loading...
Terkini