comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] PBT diarah tidak kenakan kos sewa tapak tinggi kepada peniaga bazar Ramadan – PM

 

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya tidak ‘menekan’ peniaga bazar Ramadan dengan mengenakan kos sewa tapak yang tinggi.

Menurutnya, tidak ada sebab PBT mengenakan kos sewa yang tinggi terhadap peniaga bazar Ramadan.

FOTO: Anwar Ibrahim/ Facebook

“Kalau secara spesifik soal bazar Ramadan yang saya dapat lawati di empat lima tempat, pertamanya kos sewa itu terlalu tinggi.

“Jadi kita memberikan arahan, kalau kos itu yang dikendalikan oleh Majlis Perbandaran, jangan ‘tekan’ (sewa) dalam keadaan sekarang,” katanya sewaktu pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang bertanyakan impak kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 Mac lalu menyebabkan rungutan daripada peniaga bazar Ramadan yang menyebabkan mereka kerugian dan tidak dapat membayar kos sewa tapak.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Anwar berkata, selain daripada kos sewa tapak yang terlalu tinggi, sebahagian PBT juga menyerahkan pengendaliannya kepada ejen.

“Akhirnya penyewa tidak menyewa secara langsung daripada Majlis Perbandaran. Jadi kos (sewa itu) meningkat,” katanya.

Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengakui kenaikan SST daripada enam kepada lapan peratus mempunyai kesan sampingan yang mesti dikawal.

“Seperti yang kita tahu, ada kesan sampingan kecilan yang mesti dikawal. Saya setuju kita harus pantau.

“Tetapi secara khusus perniagaan bazar Ramadan ini, kebanyakan mengeluh ialah kerana kadar sewa yang tinggi,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini