comscore
Tumpuan :
Nasional

Bom, renjat ikan kelah: Polis serah kes kepada Jabatan Perhutanan, Perikanan

Sekumpulan pihak yang didakwa mengebom serta merenjat elektrik ikan kelah di Sungai Singor, Hutan Simpan Temenggor, di sini dengan video mengenainya tular di media sosial- Foto Tular

GERIK: Siasatan berhubung kes sekumpulan individu yang didakwa mengebom dan merenjat elektrik ikan kelah di Sungai Singor, Hutan Simpan Temengor, di sini telah diserahkan kepada Jabatan Perhutanan serta Jabatan Perikanan.

Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, pihaknya ada mengesan video tular di media sosial berkaitan aktiviti penangkapan ikan yang disyaki menggunakan bahan letupan berkenaan.

Katanya, pihaknya bersama renjer Jabatan Perhutanan Daerah Hulu Perak juga sudah menjejaki tempat kejadian pada 3 petang Isnin lalu dan menemukan kawasan kejadian sebagaimana yang ditularkan.

“Hasil pemerhatian disahkan ia adalah kawasan pertemuan kuala Sungai Mangga dan Sungai Senga dalam Hutan Simpan Temenggor, Hulu Perak yang dipercayai berlaku aktiviti pengeboman ikan.

“Mana-mana individu dinasihatkan tidak memasuki hutan simpan tanpa permit daripada Jabatan Perhutanan dan menjalankan aktiviti penangkapan ikan kerana ia menyalahi undang-undang mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1985) dan Akta Perikanan 1992,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Ikan kelah atau nama saintifiknya Tor Tambroides adalah spesis ikan dilindungi mengikut Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) Perak 1992, Jadual Kedua, Kaedah 3(4) yang memerlukan kelulusan bertulis daripada Pegawai Perikanan Darat untuk menangkap, membunuh, dan memilikinya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini