comscore
Tumpuan :
Nasional

Siasatan kes bom pada kenderaan Siti Kasim, 9 individu dirakam keterangan 

KUALA LUMPUR: Seramai sembilan individu dirakam keterangan berhubung siasatan penemuan bom buatan sendiri pada kenderaan peguam, Siti Kasim, Jumaat lalu

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata pihaknya kini sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian dan kawasan berhampiran.

“Beberapa rakaman CCTV sudah diperoleh dan kita sedang membuat penelitian ke atas setiap rakaman berkenaan.”Selain rakaman CCTV di tempat kejadian, kita turut memperoleh rakaman kamera di tempat lain yang dimaklumkan oleh mangsa sebelum kejadian,” katanya kepada media, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily berkata, polis juga sudah memanggil sembilan orang saksi untuk diambil keterangan percakapan bagi membantu siasatan kes itu.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain hari ini dilaporkan berkata kes berkenaan boleh disifatkan sebagai cubaan bunuh.

Katanya, Polis Kuala Lumpur yang bertanggungjawab melaksanakan siasatan kini sedang giat mengesan suspek melalui cap jari dan bukti lain yang berkaitan.

Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes berkenaan yang boleh mengganggu siasatan.

Jumaat lalu, Siti Kasim menghantar keretanya jenis Toyota Celica ini ke sebuah pusat servis kenderaan di Bangsar untu diservis sebelum dimaklumkan mekanik ada objek mencurigakan di bahagian bawah keretanya.

Polis mengesahkan menerima laporan daripada Siti Kassim atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kassim berhubung penemuan objek itu, pada jam 12.58 tengah hari.

Pemeriksaan dijalankan Unit Pemusnah Bom (UPB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menemui dua objek dipercayai bahan letupan diletakkan dibahagian brek di tayar belakang kereta.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor mengesahkan dua objek ditemui di bahagian bawah kereta Siti Kasim adalah alat letupan termampat (IED).

Artikel berkaitan : Polis syak ada cubaan bunuh Siti Kasim

Loading...
Terkini