comscore
Tumpuan :
Nasional

Bot karam, ayah maut dua anak terselamat

Bot dinaiki ketiga-tiga mangsa sejurus berjaya ditarik dan didaratkan ke kawasan pantai Kampung Penipah. – FOTO: Ihsan JBPM

DARO: Seorang lelaki maut manakala dua lagi anak lelakinya terselamat selepas bot nelayan yang dinaiki kesemua mereka karam dipukul ombak kuat di perairan Pulau Bruit malam tadi.

Jurucakap Pasukan Bravo Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro dalam kenyataannya hari ini berkata, mangsa yang dikenali sebagai Abdul Rahman Median berusia 55 tahun ditemui mati terperangkap  dalam kabin bot dan dikeluarkan dengan bantuan nelayan lain.

Hasil pemeriksaan yang dijalankan pegawai perubatan yang turut berada di lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Dua lagi anak lelaki mangsa yang berusia 23 dan 25 tahun bagaimanapun berjaya berpaut pada bahagian bot yang telah terbalik dan seterusnya memberikan bantuan diikuti oleh nelayan yang lain yang turut  berada di kawasan berhampiran,” ujarnya.

Hasil maklumat awal yang diperoleh katanya, pada jam 6 petang semalam, ketiga-tiga mangsa dikatakan keluar ke laut bagi mencari hasil laut..

“Bagaimanapun, ribut dan ombak kuat telah melanda di kawasan berkenaan pada jam 8 malam menyebabkannya karam lalu terbalik pada jarak 2 batu nautika dari Pantai Bruit,” jelasnya.

Ketua Polis Daerah Matu Daro, Deputi Superintendan Rahim Mihos mengesahkan bahawa pihak polis menerima laporan berhubung insiden pada jam 8.19 pagi tadi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini