comscore
Tumpuan :
Kemalangan

[VIDEO] Bot karam, dua nelayan berpaut pada tong ikan 11 jam

 

PELABUHAN KLANG: Dua beranak nelayan berdepan detik cemas terpaksa berpaut pada penutup tong ikan lebih 11 jam selepas bot dinaiki karam di sekitar perairan Kuala Langat.

Mangsa dikenali sebagai Asmadi Saiman, 60, dan anaknya, Mohd. Aslan Asmadi, 34 berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pukul 2 petang tadi.

FOTO: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu dari Vesel Tracking Management System (VTMS) Lembaga Pelabuhan Klang.

“Maritim Malaysia Negeri Selangor mendapat maklumat sebuah bot tunda menyelamatkan dua nelayan yang hanyut di sekitar perairan Kuala Langat.

FOTO: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)

“Susulan maklumat itu, bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi terbabit bagi membantu membawa pulang dua nelayan dari bot tunda sekitar jam 2 petang tadi.

“Siasatan mendapati, pada jam 5 petang semalam mangsa dari Jeti Kancung Laut menaiki bot A SLFA 4468 sebelum ditemukan hanyut dengan memakai jaket keselamatan.

“Kedua-dua mangsa berpaut pada penutup tong ikan oleh bot tunda apabila bot mereka dilanda ribut dan karam pada jam 3.15 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kedua-dua mangsa dibawa ke Jeti Kelanang dan diserahkan kepada Angkatan Pertahanan Awam bagi pemeriksaan kesihatan dan mangsa dimaklumkan tidak mengalami sebarang kecederaaan tetapi kepenatan.

“Maritim Malaysia mengingatkan orang ramai dan komuniti maritim terutamanya agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut dan cakna dengan keadaan cuaca.

“Sebarang insiden kecemasan di perairan Selangor, orang ramai boleh menyalurkan maklumat menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-321760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya.

Loading...
Terkini