comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kenaikan gaji minimum penjawat awam kepada RM1,800 wajar – Pakar

 

Oleh: Ain Shafiqah Zaki

PETALING JAYA: Kenaikan gaji minimum penjawat awam kepada RM1,800 wajar dilakukan dengan keadaan semasa rakyat berdepan peningkatan kos sara hidup semakin tinggi.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya Dr Elya Nabila Abdul Bahri, sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan gaji minimum tersebut bagi membantu kelangsungan hidup penjawat awam.

Katanya, sudah hampir 10 tahun skim gaji minimum penjawat awam tidak dikaji semula.

Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya Dr Elya Nabila Abdul Bahri

“Pada 2013, gaji minimum bagi pekerja swasta adalah RM900 dan penjawat awam di dalam Sistem Saraan Malaysia serendah RM731.69 iaitu perbezaan 23 peratus.

“Pada 2015, gaji minimum penjawat awam dinaikkan RM1200. Dengan gaji minimum swasta yang masih sama, perbezaannya adalah 33.33 peratus.

“Jika menggunakan peratusan yang sama pada masa kini, gaji minimum penjawat awam dijangka melebihi RM1800.

“Maka, kadar gaji minimum yang dicadangkan oleh CUEPACS sebelum ini iaitu RM1800 adalah wajar untuk dipertimbangkan,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Jelasnya, kerajaan juga perlu mengambil kira faktor kadar inflasi yang memberi kesan kepada kos sara hidup.

“Walaupun kadar inflasi sehingga April 2023 iaitu 3.3 peratus semakin berkurangan berbanding sukuan yang lalu, namun tingkat paras harga sedia ada masih tinggi,” jelasnya.

Selain itu, paras garis kemiskinan di Malaysia juga menunjukkan peningkatan yang mendadak justeru ia antara faktor yang perlu dititikberatkan oleh kerajaan.

“Kaji semula gaji terakhir yang dilakukan pada 2013 di mana pada ketika itu paras garis kemiskinan adalah RM720, manakala paras garis kemiskinan 2019 adalah RM2208, iaitu naik sebanyak 206.7%. Saya menjangkakan paras garis kemiskinan pada 2023 sekitar RM2,700,” ujar beliau.

Loading...
Terkini