comscore
Tumpuan :
Nasional

Bunyi dentuman rupanya jambatan runtuh

Datuk Seri Saifuddin Abdullah meninjau lokasi jambatan runtuh di Taman Muhibbah/Taman Fairmont, Kuantan, pagi tadi. – Foto: NSTP/ASROL AWANG

KUANTAN: Seorang suri rumah tidak menyangka bunyi dentuman yang didengari berhampiran rumahnya rupa-rupanya jambatan runtuh di Taman Muhibbah/Taman Fairmont, di sini hari ini.

M Vasanthi, 30 berkata dia mendengar dentuman itu ketika mempersiapkan anaknya untuk ke sekolah pada jam 6.20 pagi.

Bagaimanapun, katanya, dia hanya mengetahui jambatan yang terletak kira-kira 20 meter dari rumahnya itu runtuh ketika suaminya keluar rumah pada jam 6.45 pagi.

“Bagi mengelak kejadian tidak diingini, suaminya memasang tali dan meletakkan ranting pokok,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Liong Sing, 74, berkata kejadian itu diketahui oleh jirannya pada jam 7 pagi sebelum memaklumkan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bukit Bay Route.

“Jambatan ini dibina pada 1990-an dan antara laluan utama penduduk sekitarnya, Saya harap jambatan ini dapat dibina semula,” katanya.

Calon yang juga penyandang kawasan Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah yang meninjau di taman perumahan itu sudah memaklumkan kepada Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP),Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

Katanya, kejadian itu menyebabkan kira-kira 4,000 penduduk sekitar terkesan dengan gangguan bekalan air akibat paip bocor.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana tiada kemalangan atau kecederaan berlaku.

“Walaupun jambatan ini runtuh, penduduk sekitar masih lagi mempunyai laluan alternatif lain tetapi mengharapkan jambatan ini dapat diperbaiki,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pahang Zulfadli Zakaria berkata, jambatan itu runtuh akibat paip air pecah menyebabkan tanah mendap.

“Sehubungan itu, orang ramai, khususnya penduduk di taman itu diminta menjauhi kawasan itu demi keselamatan,” katanya.

Loading...
Terkini