comscore
Tumpuan :
Nasional

COVID-19: Satu kematian baharu di Johor 

Foto hiasan

JOHOR BAHRU: Johor merekodkan satu kematian akibat kes COVID-19 baharu pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-51 pada 17 hingga 23 Disember lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, berkata tiga lagi pesakit COVID-19 masih dirawat Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 123 pesakit dirawat di wad hospital negeri ini.

Katanya, pola COVID-19 di Johor dalam tempoh beberapa bulan ini menunjukkan peningkatan mendadak.

“Kerajaan Johor dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) akan terus memantau perkembangan jangkitan COVID-19 sekali gus memastikan langkah pencegahan dan kawalan dilaksanakan secara berterusan.

“Secara kumulatif Johor Bahru merekodkan kes COVID-19 tertinggi sehingga ME51 iaitu sebanyak 2,431 kes diikuti Kulai (885) dan Batu Pahat (812).

“Setakat Sabtu lalu, secara kumulatif terdapat 404,309 kes COVID-19 dilaporkan di Johor, di mana 401,216 kes adalah jangkitan tempatan manakala baki 3,093 adalah kes import. Purata Kadar Insiden Harian COVID-19 untuk ME51 adalah 8.44 untuk setiap 100,000 penduduk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tian Soon berkata, kerajaan Johor memandang serius situasi terkini COVID-19 dan menasihatkan orang ramai terus berwaspada ketika musim cuti perayaan yang panjang.

“Orang ramai digalakkan untuk terus mengamalkan penjagaan kesihatan seperti memakai pelitup muka selain mengelakkan 3S iaitu elakkan tempat sesak, sempit dan sembang rapat.

“Individu yang belum menerima dos penggalak vaksin COVID-19 dinasihatkan supaya segera mendaftar dan mendapatkan vaksin bagi melindungi diri dan keluarga,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini