comscore
Tumpuan :
Nasional

KKM sedang siapkan maklum balas syor Laporan Pengurusan Wabak COVID-19

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menyiapkan maklum balas berhubung syor yang diberikan bagi Laporan Pengurusan Wabak COVID-19, termasuk berkaitan isu ventilator gagal berfungsi.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, maklum balas itu akan diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), bulan depan.

“Kita sebenarnya sudah memberikan kerjasama penuh kepada PAC apabila mereka meminta maklumat mengenai perkara yang menjadi keutamaan PAC. Selebihnya kalau ada lagi yang diperlukan PAC, kami bersedia memberikan segala maklumat diperlukan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan sambutan Hari Integriti dan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) KKM tahun 2023, hari ini.


Semalam, Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dilaporkan berkata, pihaknya sudah menghantar surat untuk meminta KKM menjawab syor dalam Laporan Pengurusan Wabak COVID-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) yang dibentang di Parlimen pada 30 Oktober lalu.

Berdasarkan Laporan Pengurusan Wabak COVID-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Peralatan Perlindungan Diri (PPE), tiada pihak boleh dipertanggungjawabkan atas kegagalan 104 unit ventilator berfungsi ketika negara berdepan pandemik COVID-19.

Ia turut menyaksikan 8.5 juta dos vaksin bernilai RM505 juta luput tempoh hayat setakat 15 Jun lalu.

Selain itu, tiada perjanjian bertulis dimeterai antara KKM dengan syarikat pembekal, Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd (PLSB), manakala perbincangan, penilaian dan keputusan berhubung perolehan ventilator terpaksa dilaksanakan melalui aplikasi WhatsApp disebabkan kekangan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta faktor kesegeraan dan keterdesakan situasi ketika itu.

Laporan sama mendedahkan, PLSB diarah membuat pembayaran pendahuluan bagi mendapatkan ventilator walaupun syarikat itu tiada pengalaman dan kepakaran dalam perolehan peralatan perubatan seperti ventilator.

Dalam perkembangan lain,  Dr Zaliha berkata, sebanyak 511 klinik daif akan dibaik pulih tahun ini termasuk tambahan 75 klinik daif.

“Untuk tahun ini, kita sasar 436 klinik daif yang akan kita selesaikan (baik pulih) sebelum akhir tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM111 juta.

“Tetapi disebabkan oleh penjimatan dan tata kelola yang baik telah dilaksanakan kementerian, kita akan menambah 75 klinik daif untuk kita selesaikan tahun ini dengan bajet yang sama,” katanya.

Ujar Dr Zaliha lagi, sebanyak 357 kamera badan telah digunakan pegawai penguat kuasa KKM merangkumi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan serta Bahagian Perkhidmatan Farmasi sejak dilancarkan pada 12 Disember 2022.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini