comscore
Tumpuan :
Nasional

Cuaca panas tidak halang orang ramai beriadah

Orang ramai mengambil peluang merakam gambar ketika matahari hampir terbenam di puncak Bukit Perahu, Tamparuli petang semalam. – Foto : NSTP

TAMPARULI: Cuaca panas tidak menghalang orang ramai di daerah ini untuk terus melakukan riadah seperti jogging, mendaki bukit dan bermain bola sepak pada waktu petang.

Tinjauan mendapati trek jogging Tamparuli dan Bukit Perahu di Kampung Ruhiang di sini terus menjadi tumpuan orang ramai melakukan riadah seawal jam 4 petang dan dilakukan hampir setiap hari.

Di padang pekan Tamparuli, aktiviti bermain bola sepak diadakan setiap hari.

Perkembangan itu menunjukkan orang ramai tidak bimbang dengan keadaan cuaca panas itu.

Penduduk Kampung Bontoi, Rita Vincent, 45 tahun berkata cuaca panas tidak boleh dijadikan alasan menghentikan aktiviti di luar bangunan selagi tidak memudaratkan kesihatan.

“Kegiatan seperti jogging, mendaki bukit dan main bola sepak boleh saja dilakukan orang ramai dalam keadaan cuaca panas, selagi ada ketahanan diri dan tidak mengabaikan pengambilan air yang cukup.”

Abdul Ghani Abdullah, 62 tahun pula mengakui tidak bimbang melakukan riadah jogging kerana sentiasa minum air kosong yang banyak untuk mengelakkan tubuh badannya kurang air.

“Jika tidak mampu berbuat demikian, jangan memaksa diri,” katanya.

Suhu di daerah Tamparuli diletakkan pada tahap satu atau berjaga-jaga dengan kadar maksimum harian 35 hingga 36 darjah selsius.

Loading...
Terkini