comscore
Tumpuan :
Dunia

Palestin wajar diberi hak, diiktiraf bina negara sendiri – Guterres

Guterres mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan ketenteraan haram Israel terhadap Semenanjung Gaza dan menggesa gencatan senjata kemanusiaan yang berkekalan.

KAMPALA: Hak rakyat Palestin untuk membina negara sendiri mesti diiktiraf oleh semua, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.

“Keengganan untuk menerima penyelesaian dua negara bagi Israel dan Palestin dan penafian hak kenegaraan bagi rakyat Palestin tidak boleh diterima,” tegas pemimpin PBB itu pada sidang kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) di Uganda, semalam.

Katanya, pendirian sedemikian akan memanjangkan konflik yang menjadi ancaman besar kepada keamanan dan keselamatan global, sekali gus memburukkan polarisasi.

Pertumpahan darah yang berterusan di wilayah Gaza Palestin didorong oleh serangan 7 Oktober ke atas Israel oleh pejuang Hamas.

Dalam kenyataan sidang kemuncak terakhir NAM semalam, beliau mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan ketenteraan haram Israel terhadap Semenanjung Gaza dan menggesa gencatan senjata kemanusiaan yang berkekalan.

Pemimpin yang menyertai sidang kemuncak itu di Kampala juga menggesa kemerdekaan dan kedaulatan Negara Palestin dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota untuk mencapai penyelesaian dua negara.

Sidang kemuncak NAM ialah forum 120 negara yang tidak bersekutu secara rasmi dengan mana-mana blok kuasa besar.

Keanggotaannya termasuk India, Iran, Iraq dan Afrika Selatan.

Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kesal dengan ‘keadaan kehidupan yang tidak berperikemanusiaan’ di wilayah pantai kecil yang mempunyai 2.4 juta penduduk dengan kebanyakannya sudah dipindahkan disebabkan tindakan Israel.

Isnin lalu, Guterres mengulangi gesaan dengan merayu gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza.

Sekutu utama dan penyokong utama Israel, Amerika Syarikat (AS) dalam perangnya menentang Hamas, juga baru-baru ini mengulangi sokongannya untuk mewujudkan sebuah negara Palestin.

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan semula penentangannya terhadap pembentukan negara Palestin yang berdaya maju, mendapat kritikan daripada sekutunya, AS. – AGENSI

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini