comscore
Tumpuan :
Nasional

Dana RM460 juta untuk PPRT

DUNGUN: Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) menerima dana RM460.2 juta untuk manfaat 15,272 unit rumah pada tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata peruntukan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah itu merangkumi pembinaan 3,030 unit rumah baharu membabitkan dana RM244.4 juta dan membaik pulih 12,242 buah rumah dengan dana RM215.8 juta.

Beliau berkata, peruntukan PPRT bagi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) sebanyak RM2.16 juta membabitkan 76 buah rumah.

“Peruntukan itu merangkumi 20 unit rumah baharu bernilai RM1.32 juta dan 56 buah rumah lagi untuk baik pulih membabitkan kos sebanyak RM840,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sentuhan Kasih Desa Terengganu di Kompleks Sukan Ketengah Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi KETENGAH, Datuk Seri Ahmad Said.

Anwar berkata, kementerian itu turut menerima peruntukan di bawah Program Peningkatan Pendapatan (PPP) sebanyak RM12 juta membabitkan bantuan Program Peningkatan Pendapatan (PPP)-Individu dan PPP-Mentor Mentee pada tahun ini.

Beliau berkata, seramai 84 individu juga menerima manfaat itu di Terengganu dengan peruntukan sebanyak RM797,250 yang disalurkan kepada agensi pelaksana.

“Bagi PPP di KETENGAH, seramai 30 peserta terbabit dengan peruntukan sebanyak RM252,000,” katanya.

Loading...
Terkini