comscore
Tumpuan :
Nasional

Deepak digesa buat laporan polis, jika ada orang menyamar dan guna nama – Ka Siong

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: “Buatlah laporan polis jika benar ada individu yang menyamar”.

Gesaan itu dibuat Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong terhadap Deepak Jaikishan untuk membuat laporan polis jika ada individu yang menyamar dan menggunakan namanya.

Semalam Ka Siong yang juga bekas Menteri Pengangkutan memaklumkan menerima panggilan daripada individu yang menggelarkan dirinya sebagai Deepak.

Ka Siong turut mendakwa menerima ugutan berhubung kenyataannya di Dewan Rakyat, membabitkan isu import bekalan.

“Saya akan bagi semua maklumat dan syarikat telekomunikasi pun boleh bekerjasama.”Saya pun nak tahu kenapa individu ini tahu semua perkara tersebut dan kandungan surat peguam,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau mendakwa menerima panggilan daripada individu memperkenalkan diri sebagai ‘Deepak’ dan mewakili syarikat J&E Advance Tech.

Deepak bagaimanapun menafikan beliau adalah individu yang didakwa mengeluarkan ugutan kepada Ka Siong, berhubung isu bekalan telur import.

Beliau menegaskan tidak pernah berhubung dengan bekas Menteri Pengangkutan itu, berkaitan apa-apa perkara pun.

“Saya tidak pernah call ‘hubungi’ dia, nombor telefon dia (Ka Siong) pun saya tiada,” katanya.

Ditanya, kemungkinan orang yang membuat panggilan itu menyamar dan menggunakan namanya, Deepak berkata, beliau tidak dapat memastikan perkara itu dan menyatakan ada kemungkinan Ka Siong tidak berkata benar.

Menjawab dakwaan Deepak bahawa beliau tidak bercakap benar kerana enggan membuat kenyataan di luar Parlimen, Ka Siong, berkata beliau hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat.

“Saya sebagai wakil rakyat, jika tidak bersuara di Dewan Rakyat, buat apa jadi wakil rakyat?”Saya ada pandangan dan pendirian sendiri. Saya tidak bersetuju, maka, saya bawa isu ke Dewan Rakyat. Saya tak berminat nak berdebat dengan siapa-siapa, ini (Dewan Rakyat) adalah medannya,” katanya. — Berita Harian

Loading...
Terkini