comscore
Tumpuan :
Nasional

Berlaku peningkatan permohonan LPS sempena Syawal – Loke

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke (tengah) menyampaikan sumbangan Ramadan kepada JPKK serta masjid dan surau di parlimen Seremban. – FOTO: NSTP

SEREMBAN: Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menerima peningkatan permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) Perayaan bagi menampung permintaan tiket untuk pulang ke kampung sempena Aidilfitri 2024.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata ia satu perkembangan positif bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.

“Memang setiap tahun kita memberikan LPS supaya mereka (pengusaha bas) mengadakan perkhidmatan tambahan untuk laluan yang sudah tentu yang sangat sibuk terutama ke pantai timur dan utara, ini laluan yang sibuk.”

“Kita tahu ramai orang Melayu akan balik ke kampung mereka, memang tambahan bas itu diberikan kelulusan, kita cuba ‘fasilitate’ sebaik mungkin supaya ada pertambahan perkhidmatan ini.”

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ahli Parlimen Seremban dengan Pemimpin Setempat di Coral Heights, Sikamat, di sini, malam tadi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyampaikan sumbangan kepada asnaf pada Majlis Perjumpaan Menteri Pengangkutan Bersama Pemimpin Masyarakat dan Majlis Berbuka Puasa Parlimen Seremban. – FOTO: NSTP

Pada masa sama Loke meminta pengusaha bas menyahut seruan kerajaan supaya untuk menambah perkhidmatan bas ekspres bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.

Pada majlis itu, sebanyak 136 surau dan 24 masjid di dalam parlimen Seremban menerima sumbangan masing-masing RM1,000 dan RM3,000 bagi mengimarahkan aktiviti sempena Ramadan ini.

Menyentuh mengenai penyiaran statistik kes kematian akibat kemalangan secara ‘real time’ setiap hari, beliau meminta jawatankuasa masjid dan surau mengambil kesempatan majlis agama untuk memberikan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya.

“Harapan saya di peringkat masjid dan surau boleh menyampaikan mesej berkenaan keselamatan jalan raya sebab sudah tentu dalam bulan Ramadan banyak program bersifat keagamaan dan solat tarawih di surau dan masjid.”

“Sebab isu keselamatan jalan raya memang kita perlu berikan perhatian sebab kita dah mula berikan gambaran dan juga statistik setiap hari dan polis sudah memberikan kerjasama selama 2 minggu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini