comscore
Tumpuan :
Nasional

Deepavali: Penganjuran rumah terbuka eratkan perpaduan antara kaum

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

PUNCAK ALAM: Perayaan Deepavali hari ini disambut meriah dan penuh kesyukuran oleh penganut hindu di negara ini.

Sambutan lebih bermakna apabila pesta cahaya ini turut diraikan dalam suasana muhibah bersama kaum lain menerusi penganjuran rumah terbuka.

Kemanisan itu dikongsi pasangan guru, P.Rajakumaran dan isterinya S.Paruwadi  yang pertama kali menyambut Deepavali di Bandar Puncak Alam selepas hampir setahun menetap di sini.

Selain berkumpul bersama keluarga, mereka turut mengundang jiran tetangga yang berbilang bangsa untuk meraikan bersama-sama.

Menurut P.Rajakumaran, Deepavali kali ini memberi pengalaman baharu dan kenangan manis apabila beliau dapat mengenali jiran-jiran secara lebih dekat.

“Motif kita mengadakan pesta cahaya ini adalah untuk kita dapatkan pengalaman baharu, kita sambut dengan bangsa-bangsa lain.Semua datang tetamu kita jiran-jiran kita dan kita mulakan satu situasi baru dengan corak hidup yang baru dan mungkin dia akan membawa kita kepada kehidupan yang lebih gemilang”, katanya kepada Buletin TV3.

Bagi menyemarakkan sambutan ini, S.Paruwadi dan ahli keluarga menghias kediaman mereka dengan rangoli bewarna-warni serta vilakku, atau pelita tradisi.

Deepavali juga pastinya tidak lengkap tanpa maruku dan hidangan beriyani.

“Tetamu saya ada yang age 50 dan 60 tahun. Mereka minta juga saya kuih-kuih tradisional kaum India yang macam Maruku dan ada lagi lah yang Urundai semua kan so nampaknya kita pelbagai kaum tapi kita masih ada lagi kuih muih yang kita minati macam saya pun ada minati kuih muih orang melayu”.

Tetamu yang datang juga nyata teruja apabila berpeluang menyambut Deepavali.

Perkara itu turut dikongsi lelaki warganegara Rusia, Anrej Galanow.

“Banyak kita lihat di negara lain, pertelingkahan berlaku kerana saling tidak puas hati. Tetapi bila datang ke Malaysia saya dapat lihat sendiri mereka menunjukkan contoh yang baik hidup aman damai di sini antara orang Melayu, India, Cina dan juga warga asing. Semuanya hidup aman damai”.

Pensyarah kolej swasta,Norazam Mohd Ramli juga bersetuju dengan pendapat itu.

“Jadi kita patut memupuk semangat tu untuk semua lah dah kita sebagai satu negara bangsa kita patut eratkan hubungan itu”.

Loading...
Terkini