comscore
Tumpuan :
Nasional

Deraf pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 hampir siap – Nancy

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, menghadiri Majlis Ibadah Korban 1445H di Surau Saidina Umar, Taman Intan, Bandar Baru Semariang Kuching. FOTO: NSTP

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) kini dalam proses akhir untuk meminda Akta Kanak-Kanak 2001.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, deraf pindaan akta itu kini hampir siap sepenuhnya dan pihaknya menjangkakan pindaan itu dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Beliau berkata, selain menambah baik Akta Kanak-Kanak 2001, pindaan itu juga selaras dengan penubuhan Jabatan Kanak-Kanak.

“Berikutan penubuhan Jabatan Kanak-Kanak itu, kami mengambil peluang untuk mengetatkan lagi undang-undang kerana banyak perkara berlaku yang memberi pengajaran kepada kita untuk meminda undang-undang itu.

“Kita akan menambah beberapa elemen baharu selaras dengan hasrat untuk mengetatkan lagi akta berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Ibadah Korban Parlimen Santubong di Surau Saidina Umar, Taman Intan, Bandar Baru Semariang, di sini, hari ini.

Sebanyak 14 lembu dikorban pada majlis untuk diagihkan kepada asnaf di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Santubong iaitu Demak Laut, Pantai Damai dan Tanjong Datu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Ketua Wanita MCA, Wong You Fong semalam agar KPWKM mengkaji semula dan mengukuhkan Akta Kanak-kanak serta perundangan yang berkaitan untuk memastikan perlindungan menyeluruh untuk kanak-kanak di bawah umur.

Ia termasuk hukuman yang lebih berat untuk pesalah, tanggungjawab undang-undang yang jelas untuk kemudahan penjagaan kanak-kanak berlesen dan pematuhan ketat kepada piawaian yang ditetapkan oleh KPWKM dengan semua pusat penjagaan memperoleh lesen yang sah.

Nancy berkata pihaknya memang sudah bersedia untuk melaksanakan penambahbaikan bukan hanya selepas gesaan pihak tertentu.

“Pindaan akta itu susulan penubuhan Jabatan Kanak-Kanak misalnya bagi membolehkan kita menyusun struktur serta pembahagjan tugasan.

“Jabatan Kanak-Kanak sebenarnya sudah beroperasi sejak tahun lalu tetapi masih berada di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan dengan pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 akan membolehkan jabatan itu bergerak secara sendiri mulai tahun 2026 kerana sekarang kita masih merekrut kakitangan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini