comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Derita banjir 20 tahun penduduk Kajang

 

Oleh: Aslina Abu Bakar

KAJANG: Masalah banjir di Kajang bagai tiada kesudahan.

Sehingga kini sudah 20 tahun penduduknya menderita akibat masalah banjir.

Dek kerana pembangunan infrastruktur yang pesat sejak 10 tahun lalu, situasi itu menjadi semakin teruk.

Taman Mahkota, Taman Sri Langat, Taman Hijau, Taman Sri Reco, Taman Reko Jaya, Taman Bangi dan Taman Sungai Chua, antara kawasan kerap berdepan isu ini.

Akibatnya, kerugian demi kerugian terpaksa ditanggung oleh mereka.

Menurut salah seorang penduduknya, Datuk Dr. Rahah Ismail mereka masih menanggung kesannya kerana projek tebatan banjir yang dilaksanakan di daerah itu setakat ini tidak menyeluruh.

Antara contohnya projek tebatan banjir di Sungai Jelok, Kajang.

Pembinaannya siap pada 2016 dan hanya mengurangkan banjir di kawasan pasar awam Kajang.

Sudahnya, air banjir beralih pula ke hilir Jalan Reko apabila air dari Sungai Jelok berpindah ke Sungai Langat.

“Akibatnya kami yang tinggal di perumahan Jalan Reko terpaksa berdepan masalah banjir sebanyak 13 kali dari tahun 2017 sehingga kini,” katanya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Hee Loy Sian berkata kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM16.1 juta kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri bagi pelaksanaan projek tebatan banjir.

Projek dikhususkan kepada lembangan sungai utama termasuk Sungai Klang, Langat dan Sungai Selangor.

Menurutnya, untuk penyelesaian jangka pendek, pihaknya juga akan melakukan kerja mengorek pasir di sungai-sungai yang tertimbus di kawasan berkenaan.

“Bagi memastikan isu ini selesai segera projek RTB Sungai Langat Fasa Satu bernilai RM41 juta di Sepang sedang dilaksana selain fasa dua dengan kos sebanyak RM2.74 bilion.

Ia bagi projek pembinaan kolam tadahan air Taman Sri Nanding dengan peruntukkan daripada kerajaan persekutuan diperoleh hujung tahun ini.

Manakala projek fasa tiga melibatkan pembinaan tiga kolam tadahan air dengan kos lebih RM10 bilion sebagaimana diumumkan dalam Rancangan Malaysia ke-13, 2025,” katanya.

Loading...
Terkini