comscore
Tumpuan :
Dewan Rakyat

[VIDEO] Dewan Rakyat: Ketengahkan MSPO, tangani diskriminasi minyak sawit di EU

 

Oleh: Syafiqah Damanhuri

KUALA LUMPUR: Kerajaan berhasrat untuk meningkatkan penglibatan dalam mengetengahkan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi mengatasi isu diskriminasi minyak sawit di Kesatuan Eropah (EU).

Dewan Rakyat dimaklumkan, usaha itu perlu dimulakan dari awal bagi mengelakkan sebarang syarat tambahan yang boleh digariskan kesatuan itu.

Menurut Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, kebanyakan pemain industri yang mengekport produk sawit ke Eropah kini mempunyai sijil Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) sahaja.

“Jadi salah satu strategi, kita kena lakukan libat urus dan terangkan standard MSPO lebih bagus daripada RSPO sebab ia meliputi spektrum yang luas terhadap ladang sawit termasuk semua pemain industri sekali, bukan sahaja ladang yang besar, yang kecil pun sekali.

“Kita tekankan libat urus ini supaya jangan saat akhir baru hendak lakukan, sekarang dari awal syarat baharu diletakkan kita kena laksanakannya. Kalau kita (selesai) libat urus semua kita punya produk sawit akan terima.

“Sekaligus, MSPO jadi sebahagian dan akan jadi pra syarat untuk mana-mana pihak yang hendak eksport. Sekarang yang boleh export adalah mereka yang mempunyai RSPO sahaja terutama ladang-ladang besar.” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin.

Mengulas keputusan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), Datuk Seri Johari berpendapat Malaysia tidak sepatutnya mengambil tindakan untuk memfailkan aduan terhadap tindakan EU.

Beliau menjelaskan, hal itu kerana Akta Perwakilan atau Delegated Act di bawah EU RenewableEnergy Directive 2, menyasarkan bio bahan api yang berasaskan minyak sawit dan tidak menyentuh isu kemampanan berkaitan minyak sawit secara umum.

Justeru katanya, Malaysia sepatutnya membenarkan Indonesia selaku pengeluar bio bahan api utama dunia untuk menjalankan aduan mereka.

“Banyak masyarakat di luar sana kurang faham isu ini. Jadi dia nampak seolah-olah (industri) kelapa sawit Malaysia lebih teruk daripada Indonesia.

“Sebenarnya Indonesia menarik (kes) dan dia mempunyai 12 bulan daripada tarikh ini untuk mendapatkan keputusan tapi dia bagi kita dulu buat keputusan.

“Sebab itu saya rasa waktu kita failkan dulu kita sepatutnya membenarkan Indonesia menjalankan dia punya aduan itu dan kita bagi sokongan sahaja. Sebab dia adalah pemain yang besar dalam biodiesel ini.” katanya.

Loading...
Terkini