comscore
Tumpuan :
Nasional

Doakan saya cepat sembuh, kirim salam kawan-kawan – Faisal

KUALA LUMPUR: Selepas dua hari menjalani pembedahan pertama pada Ahad malam, pemain sayap Selangor FC dan Harimau Malaya, Faisal Halim kini menjalani pembedahan peringkat kedua bermula jam 5.30 petang tadi di sebuah hospital swasta di Shah Alam.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar yang sempat bertemu dengan pemain berusia 26 tahun itu, berkongsi pesanan Faisal sebelum dia berada dalam dewan bedah.

“Saya sempat jumpa, dia cakap hai, doakan dia supaya dia cepat sembuh bdan kirim salam kepada kawan-kawan, itu sahaja,” katanya ketika ditemui media di hospital.

Tambah Shahril, Faisal yang lebih mesra disapa dengan nama Mickey perlu menjalani beberapa peringkat pembedahan kerana kesan kelecuran yang dialami di beberapa bahagian badan.

“Saya difahamkan prosedur pembedahan sama yang dijalankan sebab kesannya banyak, di muka, leher, lengan dan juga di bahagian badan jadi doktor tak boleh buat sekali, dia akan buat bahagian demi bahagian. Saya juga difahamkan mungkin ini bahagian lain yang doktor akan fokus kan untuk hari ini.

“Saya pasti akan ada lagi pembedahan yang seterusnya kerana situasi ini makan masa, saya difahamkan sekurang-kurangnya 10 hari paling kurang Mickey atau Faisal akan berada di unit rawatan rapi (ICU) selepas itu kita tengok bagaimana keadaan dia la.”.

Apa pun, Shahril meminta semua pihak mendoakan pembedahan kedua Faisal yang mengalami kelecuran tahap empat selepas menjadi mangsa simbahan asid, Ahad lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini