comscore
Tumpuan :
Nasional

Dokumen Anwar tidak buktikan pelupusan hutang FELDA dibuat Jun – Marzuki

Bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri ke-8, Datuk Dr Marzuki Mohamad.

KUALA LUMPUR: Dokumen yang dikemukakan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak membuktikan perjanjian pelupusan RM8.3 bilion hutang peneroka FELDA dibuat pada Jun lalu. Bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri kelapan, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata sebaliknya dokumen yang dikemukakan Perdana Menteri adalah perjanjian mengenai sukuk berjaminan kerajaan yang diterbitkan secara berperingkat.

“Baru sekejap tadi Perdana Menteri menyiarkan sebahagian dokumen yang dikatakan perjanjian pelupusan RM8.3 bilion hutang peneroka FELDA.

Artikel berkaitan: Anwar kemuka 2 dokumen sebagai bukti, desak Muhyiddin mohon maaf

Sekali pandang saya sudah tahu. Dokumen itu bukanlah perjanjian pelupusan hutang peneroka FELDA, tetapi perjanjian mengenai sukuk berjaminan kerajaan yang diterbitkan secara berperingkat. Dokumen yang disiarkan menerusi kenyataan media Perdana Menteri tidak membuktikan pelupusan hutang peneroka hanya dibuat pada Jun 2023,” katanya dalam kenyataan Facebook, hari ini.

Terdahulu hari ini, Anwar mengemukakan sebahagian dokumen ‘Assignment for Financial Service Reserve Account’ (FSRA) terkait jaminan kerajaan kepada FELDA yang ditandatanganinya bagi meluluskan pelupusan hutang FELDA berjumlah RM8.3 bilion seperti dituntut bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sehubungan itu, Anwar mendesak Muhyiddin selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) memohon maaf di atas fitnah dilemparkan.

Marzuki berkata dokumen yang disiarkan Anwar itu berkenaan penerbitan sukuk berjaminan kerajaan yang sememangnya adalah sebahagian daripada keputusan kabinet pada 2020.

“Sesiapapun yang menjadi Menteri Kewangan mesti menandatangani dokumen ini. Seingat saya (Tan Sri) Muhyiddin tak pernah jadi Menteri Kewangan.

Penyiaran dokumen ini mengesahkan telahan saya sebelum ini bahawa dokumen yang ditandatangani oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan bukanlah perjanjian pelupusan hutang peneroka FELDA tetapi perjanjian berkaitan sukuk berjaminan kerajaan,” katanya.

Beliau menjelaskan kabinet pada 14 Oktober 2020 ketika Muhyiddin masih Perdana Menteri, sudah meluluskan Pelan Pemulihan FELDA yang di dalamnya merangkumi pelupusan 80 peratus hutang peneroka FELDA berjumlah RM8.3 bilion.

Ia juga termasuk penerbitan sukuk RM9.9 bilion secara berperingkat untuk tujuan pengambilalihan FGV Holdings Bhd (FGV) dan penyelesaian hutang FELDA dengan Maybank dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pelan Pemulihan FELDA itu turut merangkumi penyediaan geran tahunan RM990 juta kepada FELDA oleh kerajaan persekutuan.

Justeru katanya, bagi mengelakkan keraguan mengenai keputusan kabinet pada 14 Oktober 2020 yang sudah melupuskan hutang peneroka FELDA, adalah baik kerajaan mengubah status atau ‘declassify’ minit mesyuarat kabinet itu untuk tatapan rakyat.

Loading...
Terkini