comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua cedera, SUV terbabas sebelum terbakar

Anggota bomba memadam kebakaran kenderaan yang menyebabkan dua orang cedera di susur keluar NPE dekat Pantai Dalam, hari ini.

PETALING JAYA: Dua cedera selepas kenderaan dinaiki terbabas sebelum terbakar di Lebuhraya Persekutuan berhampiran susur keluar ke Lebuhraya Pantai Baru (NPE), di sini, malam ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan mengenai kejadian pada 9.39 malam.

Ketua Pusat Gerakan Operasi JBPM Selangor Zulfikar Jaffar berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya bersama pasukan diketuai Komander Operasi Abdul Rahman Abdullah bergegas ke lokasi.

“Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Mitsubishi Outlander dikatakan hilang kawalan dan terbabas melanggar pembahagi jalan sebelum terbakar.

“Kejadian itu mengakibatkan pemandu iaitu seorang lelaki bersama penumpang wanita masing-masing berusia 50 dan 45 tahun cedera.

“Kedua mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba sampai di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zulfikar, pasukan bomba yang tiba kemudian menjalankan operasi memadamkan kebakaran dan api berjaya dipadam sepenuhnya pada 9.55 malam.

Katanya, kenderaan itu musnah 90 peratus.

Loading...
Terkini