comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Dua kotak undi tidak berikat, Calon PN Paya Terubong buat laporan polis

Oleh : Ridhwan Rusydi Azri Roslan

GEORGE TOWN: Calon Perikatan Nasional DUN Paya Terubong, Ooi Ghee Oon membuat dua laporan polis di IPD Timur Laut kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Ia berkaitan isu di mana beliau mendapati terdapat peti undi yang tidak ditutup.

Beliau mendakwa kejadian berlaku di dua pusat pengundian iaitu di Sekolah Kebangsaan Seri Relau dan Dewan Blok 4E di Farlim.

“Saya telah pergi ke SK Relau kira-kira jam 11.30 pagi tadi dan mendapati satu peti undi di Saluran 15 tidak ditutup sempurna. Ia tidak diikat dengan cable tie dan tiada pelekat pada peti itu.

“Saya meminta petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menghentikan sementara pengundian.

“Selepas itu, Ketua Tempat Mengundi (KTM) mengambil tali kabel dan pelekat serta meletakkannya pada peti itu.”

“Ini bermakna, kabel pengikat dan pelekat itu ada, tetapi tidak diletakkan,” katanya.

Difahamkan, sudah terdapat 177 kertas undi berada dalam peti berkenaan, manakala terdapat 719 pengundi berdaftar bagi saluran itu.

Ooi berkata, dia kemudiannya ke satu lagi pusat mengundi di Farlim pada jam 1.50 petang.

Dia kemudiannya melihat satu lagi kotak undi yang berada dalam keadaan sama.

“Apabila saya bertanya petugas SPR, mereka beritahu terlupa untuk ‘mengikat’ peti undi.”

“Jika insiden ini berlaku di satu lokasi, ada kemungkinan mereka terlupa tetapi saya menemuinya di dua lokasi berbeza. Mungkin isu ini juga berlaku di tempat lain,” ujarnya.

Susulan insiden itu, Ooi menuntut SPR mengadakan pengundian semula bagi DUN terbabit kerana dakwanya ia tidak adil kepada semua calon yang bertanding.

“Saya cadangkan supaya diadakan semula pengundian di dua pusat tersebut kerana ia tidak adil untuk semua pihak. Kalau nak menang, harus dengan cara yang betul,” katanya.

“Saya mempersoalkan kredibiliti SPR dalam insiden ini,” katanya.

Loading...
Terkini