comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua mangsa tertusuk muatan kayu, parah pada dada sebelum meninggal dunia – Bomba

DUNGUN: Pemandu lori dan kelindannya maut selepas terbabit kemalangan membabitkan dua lori dan sebuah kereta di Kilometer 11, Jalan Dungun-Bukit Besi dekat Kampung Serdang, hari ini.

Mangsa yang maut Mohd Shahrul Hafif Abd Kadir, 37, yang memandu lori jenis Hino dan kelindannya, Ridzuan Mohamad, 43.

Menurut Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir, sebelum kejadian, mangsa bersama sebuah lagi lori jenis sama dinaiki Safee Seman, 54, dan Aminuddin Nawi, 50, dalam perjalanan menghantar bekalan kayu di Kampung Balai Besar Dungun.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, lori dipandu Safee dikatakan berhenti di persimpangan untuk keluar ke kanan jalan.

“Ketika itu, lori yang dinaiki mangsa yang berada di belakang, dipercayai hilang kawalan, lalu merempuh belakang lori Safee.

“Rempuhan menyebabkan kenderaan meluncur ke depan dan dilanggar Proton Wira yang dipandu lelaki berusia 31 tahun, dari arah Dungun ke Bukit Besi.

“Dua mangsa tertusuk muatan kayu dan parah pada dada sebelum meninggal dunia,” katanya.

Maizura berkata, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Dungun hadir ke lokasi untuk membantu mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit sebelum mayat dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk dibedah siasat.

“Pemandu kereta serta pemandu dan kelindan sebuah lagi lori yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...
Terkini