comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Dua maut nahas tiga kenderaan

Oleh: Fazli Ahmad

ROMPIN: Dua maut selepas kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah lori ketika berhenti di simpang jalan untuk membelok sebelum dilanggar sebuah lagi lori dari arah bertentangan di Kilometer 137 Jalan Kuantan – Johor Bahru, dekat Kampung Selamat, di sini malam tadi.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, akibat rempuhan dan pelanggaran itu pemandu dan penumpang kereta terbabit maut di tempat kejadian serta seorang pemandu lori cedera ringan.

Menurutnya, mangsa terkorban ialah Muhammad Amirul Mukmini Mat Daud, 31 dan Mohd Rahmat Ab Rahim, 34.

Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 9:30 malam ketika kereta dipandu Muhammad Amirul dalam perjalanan dari arah Kuantan ke Johor Bahru berhenti di persimpangan jalan untuk membelok ke simpang kanan.

“Ketika itu kereta terbabit dirempuh lori dari arah sama dan menyebabkan kenderaan mangsa terbabas laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah lagi lori pembancuh simen.

“Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang kereta terbabit meninggal di tempat kejadian manakala salah seorang pemandu lori tercedera,” katanya ketika ditemui media di sini.

Siasatan mendapati kemalangan dipercayai berpunca kecuaian pemandu lori pertama yang merempuh belakang kereta mangsa ketika berhenti di simpang jalan.

Katanya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk tindakan lanjut.

Kemalangan disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...
Terkini