![](https://media.buletintv3.my/2024/05/gX4vBQET-BULETIN-TV3-A-6.jpg)
JOHOR BAHRU: Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain menzahirkan ucapan takziah buat ahli keluarga dua anggota polis yang maut dalam serangan di Balai Polis Ulu Tiram di sini awal pagi tadi.
Turut merakamkan ucapan sama timbalannya Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Perkara itu dikongsikan menerusi hantaran di laman Facebook rasmi PDRM hari ini.
Menurut hantaran itu, kedua-dua anggota polis yang meninggal dunia ketika sedang bertugas dalam kejadian serangan itu ialah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said.
![](https://media.buletintv3.my/2024/05/z85kpR4d-BULETIN-TV3-A-7.jpg)
“Allahyarham Ahmad Azza Fahmi dan Allahyarham Muhamad Syafiq adalah anggota ronda cegah jenayah di balai polis tersebut dan baru sahaja berkhidmat dengan pasukan lebih kurang dua tahun.
“Didoakan agar kedua-dua roh Allahyarham dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan bersama orang-orang beriman serta beramal soleh. Al-Fatihah,” menurut hantaran itu.
Terdahulu, Razarudin tiba di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini pada 1.25 tengah hari untuk melawat seorang anggota polis yang cedera dalam serangan itu.
Ketua Polis Negara turut meluangkan masa kira-kira lima minit untuk menyantuni anggota itu dan ahli keluarganya.
Beliau kemudian ke Jabatan Perubatan Forensik HSI bagi melihat proses bedah siasat membabitkan dua anggota polis yang maut dalam serangan itu.
Turut mengiringi Razarudin, Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar dan timbalannya Deputi Komisioner Afandi Senin.
Dalam kejadian 2.45 pagi tadi, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 tahun dan suspek yang berusia 21 tahun, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan cedera.
Sementara itu, M Kumar mengesahkan polis akan membuat permohonan reman terhadap tujuh individu berkaitan kes itu di Mahkamah Majistret di sini, esok. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- ‘Ami, terima kasih jadi anak yang baik’
- 2 anggota polis terkorban akan dikebumikan di Bidor, Gambang
- Polis tolak anggapan akan berlaku serangan di lokasi lain
- 2 pelajar IPT ditahan, disiasat pembabitan dalam kes serangan balai polis
- Suspek serang balai polis sudah buat persediaan awal – KPN
- Suspek serang, bunuh 2 anggota di Balai Polis Ulu Tiram sah ahli JI – KPN
- Lebih 50 anggota polis kawal ketat Balai Polis Ulu Tiram
- [VIDEO] KPN akan adakan sidang media kes 2 anggota maut, 1 cedera di Balai Ulu Tiram
- Lelaki bertopeng serang Balai Polis Ulu Tiram