comscore
Tumpuan :
Nasional

Eksklusif Hari Wanita : Wanita besi sumber inspirasi

Oleh Fatin Hanani Sahimi

PELABUHAN KLANG: Lumrahnya wanita dikenali sebagai seorang yang berpersonaliti anggun dan lemah lembut.

Sejajar dengan peredaran masa, wanita hari ini kian bergerak maju berdiri di atas kaki sendiri menjadi inspirasi dengan menceburi bidang kerjaya setanding kaum lelaki.

Walau bagaimanapun, stigma mengenai wanita itu golongan lemah, sudah tidak relevan memandangkan kaum itu kini makin berani menceburkan diri dalam bidang yang sebelum ini hanya dimonopoli kaum adam.

Bukan mahu mencabar hukum alam, tetapi lebih kepada menguji kemampuan diri yang mampu memberi inspirasi buat kelompok wanita lain.

Bersempena Hari Wanita Sedunia 2023, wartawan Buletin TV3, Fatin Hanani Sahimi berpeluang bertemu dua figura inspirasi yang berjaya menempa nama dalam kerjaya setara kaum lelaki.

Percaya kepada kemampuan diri, Iman Najwa Hazimi, memilih profesyen sebagai pengendali jentera ‘Rubber Tyre Gantry Cranes’ RTG, sekaligus meletakkan wanita berusia 30 tahun ini sebagai wanita pertama di Northport Pelabuhan Klang, Selangor.

Anak kedua dari tiga beradik ini berkata, dia tidak menyangka akan beralih ke bidang teknikal ini selepas 10 tahun berkhidmat dalam bidang penyediaan makanan dan minuman.

“Tugas yang dipikul bukannya mudah, saya perlu mengambil masa enam bulan untuk mahir kerana sangat berpegang kepada faktor keselamatan di tempat kerja,” katanya.

Pengendali jentera ‘Rubber Tyre Gantry Cranes’ RTG, Iman Najwa Hazimi

Tambah Iman Najwa, pemindahan kontena dari ‘yard’ ke dermaga merupakan antara rutin yang perlu dilakukan dengan cermat bagi mengelak sebarang insiden berlaku.

Kerjaya sama turut digalas rakan sejawatnya Norhatti Abdul Rahman, yang tidak gentar memandu trak ‘prime mover’, seberat 80 tan ini seawal usia 21 tahun bermula awal Jun 2021.

“Jangan takut untuk cuba menceburi bidang ini, kerana kita boleh membuktikan bahawa kaum wanita turut berkebolehan seperti kaum lelaki, bak kata pepatah hendak seribu daya,tak hendak seribu dalih,” katanya.

Pemandu trak ‘prime mover’, Norhatti Abdul Rahman

Usia muda tidak menjadi penghalang buat dirinya, apabila kehandalannya terbukti ketika mengemudi trak di lapangan sehingga dia turut diberi kepercayaan mengendali jentera kren menara bermula tahun lalu.

Walau berbagai karier diceburi, meskipun hanya menjadi suri rumah sepenuh masa, jasa dan pengorbanan 10.4 juta wanita Malaysia dalam membangunkan negara harus dihargai.

Golongan wanita perlu lebih berani mengorak langkah dalam menggalas tanggungjawab, kerana wanita bukan sahaja berperanan besar dalam institusi, malah menjadi tonggak harapan bangsa.

Loading...
Terkini