comscore
Tumpuan :
Nasional

Empat kereta Buggatti Veyron dikaitkan skandal 1MDB disiasat

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang meneliti maklumat mengenai empat kereta model Bugatti Veyron yang dirampas polis Jerman dari kemudahan simpanan persendirian di Munich.

Difahamkan, kedua-dua agensi itu ketika ini sedang bekerjasama rapat termasuk berkongsi maklumat mengenai rampasan kenderaan mewah itu yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi turut mengesahkan, pihaknya akan sedia membantu dalam siasatan kes berkenaan.

“Apa juga bantuan dikehendaki, PDRM akan sedia membantu,” katanya, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya menghantar permohonan untuk mendapatkan maklumat itu daripada pihak berkuasa negara berkenaan.

Beliau berkata, SPRM pada 26 Oktober 2022 pernah menghantar permohonan sama bagi mendapatkan maklumat mengenai pembelian kereta mewah di negara itu yang menggunakan dana bon 1MDB.

Malah, katanya, siasatan berhubung perkara itu dimulakan SPRM sejak 2020 lagi.

“Ia bermula apabila Permohonan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) ke Switzerland dilakukan SPRM untuk mendapat maklumat mengenai aset beku berkaitan kes 1MDB dilaksanakan pada November 2020.

“Ini diikuti dengan mesyuarat dengan Pejabat Peguam Negara Switzerland (OAG) berkaitan 50 kereta mewah yang terbabit dalam siasatan 1MDB pada tahun 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akhbar di Berlin melaporkan, polis Jerman merampas empat kereta model Bugatti Veyron yang jarang ditemui dari kemudahan simpanan persendirian di Munich, Jerman, yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Kenderaan mewah yang dirampas dikelaskan di bawah siri eksklusif ‘Legends’ kereta hiper Bugatti, yang mana hanya 18 kereta dihasilkan di bawah siri itu.

Empat kenderaan itu ialah Rembrandt edisi Veyron, Black Bess, Jean-Pierre Wimille dan Meo Constantini. Setiap kereta mempunyai harga sekitar AS$3 juta (RM14.3 juta).

“Kereta itu jarang dijual, dan biasanya tidak dijual di lelongan awam. Kereta berkenaan dikesan dan dirampas oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah 7, yang pakar dalam jenayah kolar putih,” menurut media Jerman, Bild.

Ia menyatakan, kereta itu diletakkan di tempat letak kereta Motorworld Munich, ketika suatu pertunjukan automotif.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini