comscore
Tumpuan :
Nasional

Faktor kewangan, sukar cari pasangan antara punca penurunan kadar kesuburan negara 

PUTRAJAYA: Kadar kesuburan penduduk di Malaysia menurun apabila jumlah anak yang lahir pada tahun 2022 hanya 1.6 orang anak bagi setiap wanita berbanding 4 orang anak pada 1980.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, ia sekaligus menjadikan kadar itu paling rendah pernah dicatat dalam negara.

Hasil kajian dijalankan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara LPPKN, terdapat empat punca utama keluarga di negara ini tidak mampu mencapai bilangan anak yang diinginkan.

Pengerusinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, kewangan menjadi faktor utama.

“Sebanyak 65 peratus pasangan berkahwin yang ditemubual menyatakan bahawa mereka ingin mempunyai lebih ramai anak sekiranya isu kewangan bukan suatu halangan” katanya.

Ketika ini majoriti usia seseorang berkahwin adalah lewat 20an berbanding awal 20an pada tahun 1980, sekaligus memendekkan tempoh kesuburan.

36 peratus wanita menyatakan bahawa sukar mencari pasangan yang sesuai justeru mereka melewatkan perkahwinan berbanding hanya 18 peratus dalam kalangan lelaki.

Datuk Seri Rohani ditemui pada Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2023 PERKKS 23 di Putrajaya semalam.

Sementara itu Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata pembukaan Pusat Subfertiliti Negara pertama yang akan beroperasi pada 2029 diharap dapat mengekang masalah berkenaan.

Pusat Subfertiliti Negara itu akan dibina di Shah Alam tahun hadapan melibatkan peruntukan RM171 juta.

“Kita telah diberi tanggungjawab untuk membina dan juga mengurus serta memastikan lab untuk subfertiliti negara ini berjalan dengan baik dan untuk memberi kesan kepada apa yang kita rancangkan di dalam perbincangan round table supaya ia bukan cakap sahaja, we are also preparing our nation with the lab” ujarnya.

Pusat berkenaan menyediakan khidmat rawatan kesuburan dan kesejahteraan keluarga yang komprehensif termasuk berfungsi sebagai pusat koordinasi penyelidikan teknologi rawatan terkini dan latihan kepakaran di Malaysia.

Loading...
Terkini