comscore
Tumpuan :
Hiburan

Fauziah Nawi nak dapatkan PHD 

Foto : NSTP

KUALA LUMPUR: Pelakon veteran, Datuk Fauziah Nawi menyuarakan hasrat untuk melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD).

Penerima Anugerah Tokoh Seri Angkasa 2022 ini memaklumkan sedang mencari institusi yang sesuai untuk merealisasikan impiannya itu.

“Selepas terima ijazah sarjana pada 2018, saya pasang impian mendapatkan ijazah kedoktoran.

“Perasaan apabila dapat pakai jubah dan topi masa majlis graduasi sangat seronok.

Malah, jauh lebih indah dan mengujakan berbanding ketika saya terima trofi kemenangan dalam mana-mana acara anugerah.

“Tidak dinafikan banyak halangan apabila orang tua seperti saya hendak sambung belajar.

“Apatah lagi untuk peringkat PhD, pasti lebih sukar kerana membabitkan banyak kerja penyelidikan. Tetapi saya sudah bersedia,” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani perjanjian antara Metrowealth International Group (MIG) dan Meatech Creative Academy di Wisma Metrowealth di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MIG, David Teo; Ketua Pegawai Eksekutif Meatech Creative Academy, Shahralin Abdul Hamid dan pengarah serta pelakon, Aziz M. Osman.

Majlis itu menyaksikan Fauziah dan Aziz menerima Diploma Kemahiran Malaysia dalam bidang Koordinasi Pengarahan Filem dari Meatech Creative Academy.

Kerjasama antara Meatech Creative Academy dan MIG dengan sokongan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bertujuan membantu pelajar Meatech Creative Academy mengikuti latihan industri di MIG.

Mengulas mengenai kelayakan akademik diperoleh, Fauziah yang membintangi telefilem Pondok Buruk mengaku ia membuka peluang rezeki yang lebih besar buatnya.

‘Sejak ada sijil kelayakan ini, bayaran serta layanan yang diterima lebih baik sebelum ini.

“Bayaran diterima juga berbeza terutama apabila membabitkan projek kerajaan. Saya banyak berlakon dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dan bayaran diterima memang berbeza.

“Sama juga dengan program membabitkan institusi pengajian tinggi. Mereka akan bayar sesuai dengan taraf pendidikan kita. Jika tiada kelayakan, saya dibayar dengan harga token.

“Sekarang kalau ada undangan di luar daerah, mereka akan beri kita tiket kelas perniagaan. Baru saya sedar pentingnya sijil pendidikan apabila berurusan dengan kerajaan,” ujarnya.

Loading...
Terkini