comscore
Tumpuan :
Nasional

Gangguan bekalan air boleh sebabkan dehidrasi

Foto hiasan

Oleh Nurul Amalina Zainudin

PETALING JAYA: Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) berharap kerja-kerja penyelenggaraan mencuci tangki mendapan melibatkan tiga daerah di negeri jelapang padi Rabu ini, dapat diselesaikan dengan segera memandangkan ia bakal memberi impak yang besar kepada pengguna.

Presidennya, Mohamad Yusrizal Yusoff beranggapan kerja-kerja penyelenggaraan ini tidak wajar dilakukan pada waktu ini kerana musim cuti sekolah kerana kebanyakan isi rumah akan sentiasa berada di rumah .

Penggunaan air juga lebih tinggi daripada kebiasaannya, sekaligus memerlukan bekalan air yang cukup.

Tambahan pula rakyat sedang berhadapan  cuaca panas yang melampau, justeru gangguan bekalan air boleh menyebabkan dehidrasi kerana pengguna perlu mencatu penggunaan air, bagi memastikan bekalan sentiasa ada.

“Lagipun Syarikat Air Darul Aman (SADA) tidak menyatakan had masa untuk kerja-kerja ini, jadi ia akan menimbulkan rasa panik pengguna-pengguna di kawasan yang terjejas, SADA perlu membuat langkah pro aktif disebabkan sekarang ini cuaca panas melampau yang mungkin boleh menyebabkan dehidrasi kepada pengguna.”katanya kepada Buletin TV3.

Bagaimanapun ujarnya, pengguna perlu akur dengan gangguan yang dijadualkan ini demi mendapatkan bekalan air yang bersih dan berkualiti.

Mohamad Yusrizal bin Yusoff. Presiden Persatuan Pengguna Kedah

Namun ujarnya pada masa yang sama pihak SADA juga perlu prihatin dengan kebajikan pengguna, lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunya isi rumah yang ramai.

Yusrizal berharap SADA dapat menyediakan bekalan alternatif, khususnya di kawasan-kawasan kilang dan juga perniagaan, supaya mereka mendapat bekalan yang secukupnya sepanjang proses ini.

“Air ini adalah satu keperluan, kita harap kerja-kerja ini dapat dipercepatkan, tidak perlu sampai tiga atau empat hari kerana sehari sahaja pun (gangguan bekalan air) akan memberi kesan besar kepada pengguna.”

Pada masa sama, Yusrizal turut mencadangkan pengguna di kawasan terjejas dapat menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakannya secara berhemah.

Kira-kira 9,000 akaun SADA di tiga daerah di Kedah bakal mengalami gangguan bekalan air berikutan kerja-kerja penyelenggaraan cuci tangki mendapan pada Rabu ini.

Kawasan yang terjejas adalah kilang Petronas Fertilizer, kilang NAFAS, Kampung Bukit Besar, Kampung Tualang, Yan Besar, Yan Kecil, Kota Sarang Semut, Jalan Batas Paip dan kawasan sekitarnya.

Loading...
Terkini