comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Helikopter hantar murid sekolah, polis rujuk CAAM

 

SHAH ALAM: Laporan berhubung helikopter mendarat di kawasan lapang Seksyen U11 untuk menghantar seorang murid sekolah di sini, hari ini, dirujuk kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima makluman berhubung kejadian itu susulan tular di media sosial.

Katanya, sebuah helikopter didapati mendarat di lokasi berkenaan untuk menghantar seorang murid sekolah dari sebuah sekolah swasta di Setia Eco Park Shah Alam.

“Helikopter berkenaan mendarat kira-kira 15 minit sekitar jam 8 pagi di kawasan tanah lapang berhampiran Jalan U11/11D, Bukit Bandaraya Seksyen U11, di sini, hari ini.

“Susulan itu, satu laporan polis dibuat Ketua Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

“Kes itu diklasifikasikan sebagai rujukan agensi lain (ROA) kepada CAAM untuk tindakan lanjut,” katanya.

Terdahulu, portal berita melaporkan seorang penduduk berkongsi video memaparkan sebuah helikopter berlepas dari kawasan lapang berhampiran kawasan perumahan di lokasi itu.

Terdapat juga gambar menunjukkan seorang kanak-kanak berjalan meninggalkan helikopter itu dengan juruterbang berdiri di tepi pesawat.

Loading...
Terkini