comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] CAAM siasat helikopter hantar murid sekolah

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah memulakan siasatan mengenai pengoperasian sebuah helikopter peribadi jenis G2CA-Cabri, dengan nombor pendaftaran N99UR yang dilaporkan mendarat di Shah Alam, Selangor pada 17 April lalu.

Artikel berkaitan: Helikopter hantar murid sekolah, polis rujuk CAAM

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Kapten Norazman Mahmud berkata, siasatan dijalankan mengikut Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan Civil Aviation Directives (CADs).

“CAAM ingin mengingatkan semua pengendali pesawat bahawa pematuhan penuh kepada peraturan dan arahan adalah wajib bagi memastikan keselamatan orang awam.

“Tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular gambar memaparkan helikopter itu mendarat di sebuah kawasan lapang berdekatan kawasan perumahan di Setia Alam sebelum seorang kanak-kanak berjalan meninggalkan pesawat itu dengan juruterbang berdiri di sisinya.

Difahamkan, ia kali kedua helikopter mendarat di kawasan itu namun penduduk tidak merakam kejadian pertama sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata, satu laporan polis dibuat Ketua Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KBKDNKA) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bagi tindakan lanjut kejadian berkenaan.

Siasatan awal mendapati helikopter itu mendarat di kawasan tanah lapang berhampiran Jalan U11/11D, Bukit Bandaraya Seksyen U11 pada 17 April lalu untuk menghantar seorang murid sekolah dari sebuah sekolah swasta di Setia Eco Park Shah Alam.

Loading...
Terkini