comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Hero Batang Kali, Blake mati akibat barah

Oleh: Juliana Sharin

PETALING JAYA: Anjing pengesan milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Blake terpaksa ditidurkan (euthanized) 4.38 petang Isnin selepas dikesan menghidapi barah.

Blake dikenali antara hero yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat SAR insiden tanah runtuh di Batang Kali, Selangor Disember tahun lalu itu didiagnosis menghidap barah lymphoma tahap empat 15 Ogos lalu.

Blake bersama pemegangnya PB Salbuddin Salleh

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan memaklumkan, Blake telah dimasukkan sekali lagi ke wad Anjing Kesayangan di Fakulti Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) 14 September apabila didapati hilang selera makan dan kelesuan selain untuk mendapatkan perkembangan berkaitan barah dihadapi anjing itu.

Difahamkan sepanjang berada di wad untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, Blake gagal memberi respons kepada ubat dan rawatan yang telah diberikan oleh pihak veterinar.

Barah lymphoma yang dikesan pada anjing itu dilaporkan semakin agresif sehingga merebak ke seluruh badan dan semakin membesar.

Hasil perbincangan bersama Pakar Veterinar, Dr Nur Alimah Rahman, pihak jabatan telah bersetuju dengan keputusan untuk menidurkan Blake.

“Ia memandangkan kesihatannya yang merosot secara mendadak, tiada harapan dipulihkan serta mengelakkan anjing ini menderita dari kesakitan selain mengambil kira kebajikan anjing tersebut,” menurut kenyataan itu.

Blake merupakan anjing baka English Springer Spaniel yang berasal dari United Kingdom dan merupakan perolehan JBPM pada 2017.

Terima kasih Blake, selamat tinggal.

Loading...
Terkini