comscore
Tumpuan :
Nasional

Hot FM kekal stesen radio nombor satu di Malaysia 

Oleh: Juliana Sharin

PETALING JAYA: Media Prima Audio (MPA) mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai stesen radio berpengaruh di Malaysia dengan jumlah pendengar mingguan sebanyak 5.6 juta pendengar.

Hasil kaji selidik Nielsen Consumer and Media View (CMV) pada Januari hingga Disember 2023 itu menunjukkan peningkatan kukuh dalam jumlah pendengar lebih daripada 100,000 pendengar berbanding tahun lepas.

MPA menerusi kenyataan memaklumkan kajian yang menilai Pendengaran Minggu Lalu dalam kalangan individu berumur 15 tahun ke atas di Semenanjung Malaysia itu memperlihatkan prestasi peningkatan berterusan yang konsisten dan keupayaannya untuk menyesuaikan diri dengan kehendak peminat.

Keputusan itu turut mengekalkan kedudukan Hot FM sebagai stesen radio No. 1 di Malaysia untuk kali ketiga berturut-turut dengan hampir 4 Juta pendengar mingguan.

“Hasil daripada kempen-kempen yang berjaya seperti perlawanan persahabatan dengan Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim F.C. (JDT) yang menampilkan KJ, personaliti Hot FM bersama selebriti, dan juga kejayaan PIKNIK Bekpes Hot tour bersama Gardenia” menurut kenyataan.

Fly FM turut mengekalkan kedudukannya sebagai stesen radio berbahasa Inggeris paling popular di Malaysia, dengan 2.15 juta pendengar mingguan.

“Inovasi seperti pengenalan Aina sebagai personaliti radio AI pertama di Malaysia, bersama-sama dengan acara lapangan yang menarik seperti pemberian Sirap Bandung Cincau di konsert Black Pink, dan Fly Nite Club Tour, telah menyumbang kepada popularitinya yang berterusan,” katanya.

Stesen radio berbahasa Melayu keduanya Kool 101 pula mengalami pertumbuhan yang luar biasa.

Sejak penjenamaannya semula, ia telah menarik sebanyak 234,000 pendengar dalam hanya enam bulan dengan membawakan cerita sosial semasa dan trend kepada peminatnya.

“Kool 101 telah berjaya menyentuh hati rakyat Malaysia melalui penyampaian cerita dan kisah yang positif serta kisah yang memberi inspirasi kepada peminatnya,” tambahnya.

Turut menyumbang kepada kejayaan itu Eight FM, stesen berbahasa Cina yang menarik 506,000 pendengar mingguan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio, Nazri Noran, menyatakan komitmen untuk berdedikasi kepada kecemerlangan dalam mencipta kandungan untuk pelbagai platform.

“Seiring dengan era digital, fokus kami adalah untuk membentuk serta memberi kandungan yang sangat menarik  dan “fresh” secara tidak langsung boleh berhubung terus dengan peminat di semua jenama kami dan dapat menjangkaunya di mana sahaja mereka berinteraksi dengan kami,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini