comscore
Tumpuan :
Nasional

Ibu dan 2 anak demam panas dibantu bomba redah banjir ke klinik

DUNGUN: Seorang wanita terpaksa meminta bantuan pasukan penyelamat pagi ini untuk membawa dua anaknya yang demam panas ke klinik selepas kediamannya di Kampung Paya Kemudi, dekat sini, terkepung banjir.

Sharifah Abu Bakar, 32, bersama dua anaknya, Nor Syakila Imani Mat Naim, 6, dan Nor Saqeena Izz Mat Naim, 2, tidak dapat menghantar anaknya ke klinik berikutan laluan keluar dinaiki air hingga empat meter.

Menurut Sharifah, kedua-dua anaknya mengalami demam sejak semalam dan suaminya tiada di rumah kerana bekerja, menyebabkan dia tidak berani mengayuh sendiri perahu untuk membawa keluar anaknya.

“Air di laluan keluar dari rumah saya tinggi hampir cecah tiang elektrik. Memang agak bimbang kalau nak bawa anak naik perahu.

Sharifah berkata, dia juga sudah tidak keluar dari kawasan rumahnya selama tiga hari selepas kawasan itu dinaiki air.

“Saya amat bimbang dengan kesihatan anak-anak dan Alhamdulillah pihak bomba datang ambil kami,” katanya.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Sharizal Shamsudin berkata, pihaknya bersama kekuatan 6 anggota telah dikerahkan ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan dari keluarga itu pada jam 9.30 pagi.

Menurut Sharizal, pihaknya tiba di lokasi tersebut pada jam 10 pagi dan operasi menyelamat dilakukan dengan menggunakan sebuah bot gentian kaca.

Tambahnya, operasi menyelamat tidak menghadapi sebarang masalah kerana jarak untuk ke laluan rumahnya ialah sejauh 500 meter dan senang dilalui.

“Rumah mangsa adalah di atas bukit, di mana telah menjadi pulau, sehubungan dengan itu beliau tidak berpindah ke PPS, bagaimanapun, dari segi kebajikan, makanan, minuman, telah dijaga oleh pihak JPKK yang terlibatlah, iaitu JPKK di Paya Kemudi,” katanya.

Sharizal berkata, operasi membawa keluar keluarga terbabit selesai sepenuhnya pada jam 11.05 pagi.

Kanak-kanak terbabit kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Delong untuk menerima rawatan.

Loading...
Terkini