comscore
Tumpuan :
Nasional

Imigresen bongkar sindiket pengemis warga asing

Sebahagian daripada pengemis warga asing, wanita dan kanak-kanak yang diselamatkan Imigresen dalam Ops Selamat di sebuah premis di Jalan Ipoh.-Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Sindiket pengemis didalangi warga Pakistan yang memperalatkan kanak-kanak serta wanita yang didalangi warga Pakistan, berjaya dibongkar Jabatan Imigresen (Imigresen) Kuala Lumpur hasil risikan enam bulan.

Kejayaan hasil serbuan ke atas di sebuah premis rumah kedai di Jalan Sultan Azlan Shah di sini, kira-kira jam 9 malam tadi, menerusi Operasi Selamat (Op Selamat).

Wartawan BH yang menyertai serbuan berkenaan mendapati sindiket terbabit berselindung di sebalik tiga perniagaan iaitu kedai aksesori telefon, kedai dobi serta kedai memotong rambut.

BH difahamkan sindiket ini turut mengekploitasi kanak-kanak untuk aktiviti mengemis dengan dibawa oleh pengemis dewasa mengemis di sekitar Jalan Chow Kit, Masjid India dan Jalan Sentul bagi meraih simpati awam.

Mereka dikatakan, dihantar oleh sindiket ke lokasi-lokasi mengemis seawal jam 8 pagi dan hanya akan dihantar pulang antara jam 8 hingga 11 malam.

Namun apa yang lebih memeranjatkan, kanak-kanak yang dieksploitasi untuk mengemis itu disyaki diberikan ubat batuk agar mereka tidur dan tidak aktif semasa dibawa bersama untuk mengemis.

Taktik tersebut terbongkar selepas pasukan serbuan menemukan beberapa botol ubat batuk di bilik-bilik sewa didiami mereka dalam serbuan malam tadi.

Bilik-bilik sewa terletak di tingkat dua bangunan rumah kedai empat tingkat terbabit dan dipercayai dijadikan penempatan untuk warga asing disyaki dari Pakistan, Indonesia dan India oleh sindiket terbabit.

Mereka perlu membayar kadar sewaan RM800 sebulan dan didiami kira-kira lapan orang dalam satu bilik kecil termasuk kanak-kanak.

Selain itu, melalui serbuan ini juga berjaya membongkar kegiatan sindiket itu dalam menghasilkan pasport palsu selepas pemeriksaan Imigresen di ruang pejabat dalam kedai menjual aksesori telefon menemukan puluhan pasport asing dengan cop disyaki palsu

Menurut Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff, serbuan itu hasil risikan dan pemantauan selama enam bulan yang dilaksanakan pihaknya sejak awal Januari lalu.

Beliau berkata, keseluruhan 80 individu termasuk seorang lelaki tempatan dan selebihnya warga asing berusia antara 10 bulan hingga 59 tahun ditahan dalam operasi yang berakhir pada jam 12 malam itu.

“Mereka terdiri daripada 77 warga Pakistan iaitu 44 lelaki dan 22 wanita dewasa serta empat kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan.

“Selebihnya, masing-masing seorang lelaki tempatan, wanita Indonesia dan wanita India,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kesemua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk proses lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Akta Pasport 1966 (Akta 150).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini