comscore
Tumpuan :
Nasional

Imigresen serbu jeti pelantar ikan, 59 warga asing dicekup

JIM dan Maritim Malaysia menyerbu sebuah jeti pelantar ikan di Hutan Melintang dan berjaya menahan seramai 61 PATI dari pelbagai negara. – Foto – NSTP/ihsan JIM.

IPOH: Seramai 59 warga asing termasuk dua kanak-kanak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Perak dalam satu serbuan melalui Op Bersepadu di sebuah jeti pelantar ikan di Hutan Melintang, awal pagi semalam.

Pengarah Imigresen Perak Hapdzan Husaini berkata dalam operasi kira-kira 1 pagi itu, pasukan serbuan yang tiba di tempat kejadian terpaksa memotong pintu pagar premis bagi membolehkan mereka masuk ke kawasan berkenaan.

“Kehadiran pasukan operasi di lokasi serbuan menyebabkan mereka bertempiaran lari menyelamatkan diri dengan terjun ke dalam laut dan menyembunyikan diri di dalam semak sekitar lokasi serbuan,” katanya dalam kenyataan.

Seramai 61 PATI dari pelbagai negara ditahan dalam serbuan JIM dan Maritim Malaysia di sebuah jeti pelantar ikan di Hutan Melintang, awal pagi semalam. – Foto: NSTP/ihsan JIM.

Bagaimanapun, beliau berkata kesemua mereka gagal meloloskan diri kerana kecekapan pasukan operasi yang telah menutup setiap ruang dengan mengepung premis berkenaan.

Menurut Hapdzan, seramai 61 warga asing berusia tujuh hingga 55 tahun diperiksa.

Mereka terdiri daripada seorang lelaki Thailand, 13 lelaki Indonesia, dua wanita Vietnam serta 36 lelaki, lima wanita dan dua kanak-kanak Myanmar yang melakukan kesalahan Imigresen manakala dua lelaki Myanmar diserahkan kepada Agensi Penguatkuasa Maritim (APMM) bagi tujuan siasatan.

Katanya, mereka yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, Seksyen 15 (1) (c) iaitu telah tinggal lebih masa dan Peraturan 39 (b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas Lawatan dengan bekerja secara tidak sah.

Beliau berkata operasi yang tamat pada 4 pagi itu dijalankan sepasukan anggota terdiri daripada 35 pegawai Imigresen daripada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perak, 26 pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi JIM Putrajaya serta 30 anggota dan pegawai APMM. – BERNAMA

Loading...
Terkini