comscore
Tumpuan :
Nasional

Op bersepadu kesan manipulasi bekalan beras di pasaran bermula esok

Foto hiasan.

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan Op Bersepadu beras putih tempatan dengan melakukan pemeriksaan secara menyeluruh di semua peringkat rantaian industri padi dan beras, mulai esok.

Menurut Menteri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu, operasi membabitkan penguat kuasa pelbagai kementerian diketuai Timbalannya, Chan Foon Hin.

“Kita akan membuat pemeriksaan menyeluruh terhadap rantaian industri termasuk semua kilang-kilang besar dan stor-stor pemborong besar.

“Sampel beras juga akan diambil di semua kilang beras, gudang pemborong mahupun pasar raya untuk membuat analisis kimia,” katanya pada sidang media khas di ibu negara.

Jelasnya, KPKM akan membuat analisis kimia ke atas sampel stok beras yang diambil bagi mengenal pasti ketulenan jenis beras yang dijual di pasaran, sekali gus meneliti kemungkinan berlaku aspek manipulasi bekalan barangan berkenaan.

Justeru, tindakan tegas  menanti mana-mana pihak yang dikenal pasti melakukan aktiviti menukar kampit, mencampurkan beras putih tempatan (BPT) dan beras putih import (BPI) mahupun menyorok bekalan barangan berkenaan.

Operasi bersepadu itu antara langkah intervensi tambahan dipersetujui kerajaan bagi mengatasi isu beras tempatan di pasaran.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini