comscore
Tumpuan :
Nasional

Ingkar larangan pemanduan, 2 lori disita

FOTO: Ihsan JPJ

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka menyita dua lori pengangkut barang yang dikesan memasuki jalan raya ketika tempoh Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan sempena Ops Tahun Baharu Cina hari ini.

Dalam operasi yang dijalankan di sekitar negeri ini, sebuah lori seberat 25 tan ditahan di jalan Plaza Tol Jasin manakala sebuah lagi seberat 30 tan ditahan di Jalan Tun Kudu-Bukit Katil di sini.

Pengarah JPJ negeri, Muhammad Firdaus Shariff berkata, ketika ditahan, lori 30 tan terbabit membawa jentera pengorek manakala sebuah lagi tiada muatan.

Kata beliau, kedua-dua kenderaan itu ditahan antara jam 10 hingga 11 pagi.

“Ketika ditahan, lori 25 tan tanpa muatan itu dikatakan sedang dalam perjalanan ke Muar, Johor untuk mengambil kayu binaan.

“Lori 30 tan itu, ketika ditahan sedang membawa dua jentera forklift dan traktor tanah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Muhammad Firdaus, ekoran itu, kedua-dua pemilik dan pemandu lori terbabit dikenakan saman di bawah Kaedah 2(1), Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan).

Kedua-dua kenderaan terbabit ujarnya, turut disita di bawah arahan penahanan selama 48 jam susulan keingkaran itu.

‘’Kita kesal kerana masih ada yang ingkar dengan arahan larangan ini biarpun telah dihebahkan tentang penguatkuasaannya berkali-kali di pelbagai platform media,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas bagi mewujudkan jalan raya yang selamat.

Beliau juga mengajak pengguna jalan raya menjadi sebahagian daripada anggota penguat kuasa dengan melaporkan kesalahan lalu lintas menerusi aplikasi e-Aduan@JPJ atau melalui emel [email protected].

Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan Sempena Ops Tahun Baharu Cina 2023 dikuatkuasakan pada pada 20 dan 21 Januari serta pada 24 dan 25 Januari ini sebagai usaha mengurangkan kadar kemalangan dan kesesakan ketika musim perayaan.

Loading...
Terkini