comscore
Tumpuan :
Hiburan

Isu ini sudah diselesaikan dengan cara baik antara pihak saya dan Mimi – Syafiq Kyle

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pelakon Syafiq Kyle memaklumkan hubungan antaranya dengan Mimi Lana sudah diselesaikan dengan cara baik dan masing-masing kini memberi tumpuan kepada keluarga dan kerjaya seni mereka.

Ini kali pertama Syafiq memberi maklum balas selepas tercetusnya kontroversi pembatalan majlis perkahwinannya dengan Mimi yang sepatutnya berlangsung di Bentong, Pahang, pada 18 Ogos lalu.

Pelakon berusia 31 tahun itu bagaimanapun enggan mengulas apakah dia dan Mimi masih bertunang.

“Saya ambil maklum mengenai isu ini (krisis hubungan dengan Mimi) dan terima kasih saya ucap kepada semua yang ambil berat mengenai saya dan Mimi.

“Saya harap isu ini tidak lagi diulas lanjut sebab perkara ini membabitkan banyak pihak. Saya ambil pendekatan dan berharap isu ini tidak diulas lagi.

“Saya hormati kedua-dua belah pihak dan isu ini pun sudah diselesaikan dengan cara baik antara pihak saya dan Mimi,” katanya pada sidang media mempromosikan filem Doh, iaitu naskhah sulung terbitan syarikat produksinya, Indigo Films di Taman Kolonial, Bangunan Sultan Abdul Samad di sini, hari ini.

Bulan lalu, Syafiq dan Mimi mengejutkan peminat apabila majlis pernikahan dan resepsi mereka yang dijadual berlangsung di Puncak Rimba, Bentong, Pahang, pada 18 Ogos lalu, dibatalkan.

Difahamkan, majlis ijab kabul sepatutnya berlangsung pagi, disusuli majlis persandingan pada sebelah malam.

Ditanya sama ada hubungan dengan Mimi masih baik, Syafiq memberitahu tumpuan kini adalah kerjaya seninya.

“Buat masa sekarang, kami ambil pendekatan dan ruang untuk fokus kepada keluarga dan kerja. Saya harap isu ini tidak dilanjutkan lagi dan tiada ‘follow up’ (susulan),” katanya.

Loading...
Terkini