comscore
Tumpuan :
Nasional

Jadikan keusahawanan subjek teras di sekolah 

Foto : NSTP

KUALA LANGAT: Dalam usaha mewujudkan bangsa usahawan di kalangan belia, pendidikan keusahawanan wajar dijadikan subjek teras di peringkat sekolah menengah.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pada mesyuarat Majlis Pekerjaan Negara (MPN) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, minggu lalu, beliau mencadangkan supaya kurikulum sekolah menengah diubah dengan memasukkan subjek keusahawanan.

Beliau berkata, keusahawanan wajar dijadikan sebagai subjek bersendiri sebagaimana subjek lain dan hendaklah dibuat dalam kurikulum tingkatan satu hingga lima.

Katanya, mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

“Statistik merekodkan hanya 40 peratus daripada 500,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian ke Tingkatan Enam, institusi pengajian tinggi (IPT) dan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) setiap tahun.

“Jumlah itu menunjukkan bahawa sekitar 300,000 daripada mereka yang tidak melanjutkan pelajaran mungkin bekerja di sektor kilang atau e-hailing sekali gus memenuhi golongan B40 di negara ini.

“Justeru, kita tidak mahu perkara itu terus berlaku dan keusahawanan perlu menjadi subjek teras sekolah menengah sebagai usaha melahirkan usahawan berpendapatan tinggi,” katanya selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Agung Tahunan Gerakan Belia 4B Malaysia kali ke-42 dan 43 di Universiti MAHSA di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan

Beliau berkata, pihaknya mahu subjek itu merentas kurikulum sekolah dan ditetapkan secara khusus kepada pelajar seperti subjek lain.

“Seseorang usahawan perlu mempunyai ilmu perniagaan lebih meluas dan kaedah pemasaran yang efektif bagi mencapai kejayaan.

“Jika lebih ramai usahawan, maka lebih mudah sesebuah negara itu akan maju dan kita berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mempertimbangkan cadangan tersebut,” katanya.

Kerajaan turut menyalurkan peruntukan berjumlah RM40 bilion bagi kemudahan pembiayaan pinjaman kepada usahawan.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan peruntukan daripada Kementerian Kewangan sebanyak RM150,000 kepada Gerakan Belia 4B Malaysia bagi menjalankan program berkaitan keusahawanan.

Loading...
Terkini