comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis sahkan tiada bom di tujuh sekolah di Selangor

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan pemeriksaan di tujuh sekolah antarabangsa di Selangor yang menerima ancaman bom, pagi tadi tidak menemui sebarang bom di semua sekolah terbabit.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, pihaknya menerima tujuh laporan polis berkaitan e-mel ancaman bom yang didakwa ditanam di tujuh sekolah terbabit.

“Pengirim e-mel menggunakan nama [email protected] menghantar ancaman bom ke beberapa sekolah di daerah Kajang, Petaling Jaya, Kuala Langat, Subang Jaya dan Shah Alam.

“Sejurus menerima maklumat, pihak polis mengarahkan pasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) Polis Kontinjen Selangor untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, katanya hasil siasatan di tempat kejadian sehingga jam 1 tengahari hari tadi, pasukan UPB tidak menemui sebarang bom yang tertanam di sekolah yang dinyatakan.

“E-mel berkenaan adalah satu berita palsu yang mahu mendatangkan kegusaran kepada pihak sekolah dan ibu bapa.

“Sehubungan itu, pihak sekolah dan ibu bapa dinasihatkan supaya tidak panik sekiranya menerima emel yang menyatakan ada ancaman bom di sekolah.

“Sebaliknya laporkan kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan lanjut dijalankan,” katanya.

Tindakan itu, katanya bagi mengelakkan timbulnya kegusaran dalam kalangan masyarakat yang tidak mengetahui kesahihan maklumat berkenaan.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan bersama agensi lain seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mendapatkan motif di sebalik e-mel palsu ini.

“Pihak polis memberi jaminan keadaan di kawasan sekolah dan persekitarannya adalah selamat. Keutamaan akan diberi dalam apa keadaan sekalipun bagi memastikan pelajar sentiasa berada dalam persekitaran yang selamat dan ibu bapa tidak perlu risau keselamatan anak-anak mereka,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai juga diingatkan agar tidak menyebarkan sebarang berita palsu kerana boleh mendatangkan kerisauan, kebimbangan dan mengancam ketenteraman awam.

Katanya, polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu ini.

Sementara itu di ibu negara, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, berkata setakat ini pihaknya sudah menerima tiga laporan polis daripada tiga sekolah antarabangsa di ibu negara.

“Setakat jam 5 petang tadi, ada tiga laporan diterima membabitkan panggilan bom iaitu dua laporan di daerah Wangsa Maju dan satu laporan di daerah Dang Wangi,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini