comscore
Tumpuan :
Nasional

Jaminan makanan antara fokus Belanjawan 2023

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof. – FOTO: NSTP

BANGI: Jaminan makanan adalah antara yang akan diberi tumpuan dalam Belanjawan 2023, demikian menurut Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, jaminan makanan itu merangkumi keseluruhan rantaian dan ia bukan saja menumpukan kepada makanan.

Katanya, keseluruhan rantaian itu merangkumi daripada makanan hinggalah kepada penduduk, makanan haiwan, baja, baka haiwan dan benih pokok berkualiti.

“Salah satu fokus ialah jaminan makanan. Bila kita kata jaminan makanan ini bukan makanan saja tetapi makanan kepada haiwan, baja dan sebagainya.

“Kita akan lihat keseluruhan rantaian dan akan diberi tumpuan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) 2022 di sini, hari ini.

Belanjawan 2023 akan dibentangkan semula pada 24 Februari ini.

Mengenai beberapa tuntutan Sabah dan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang masih belum selesai, Fadillah berkata, beberapa tuntutan kedua-dua negeri di dalam perjanjian itu masih dalam proses rundingan bersama Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, sebahagian isu membabitkan implikasi kewangan dan perundangan ada yang sudah selesai dan ada yang masih dibincangkan.

Katanya, tuntutan yang diselesaikan sebelum ini sudah diumumkan Perdana Menteri.

“Jadi masih ada yang dirundingkan ada yang perlu dibawa ke Parlimen dan ada yang ada implikasi kewangan, itu masih dibincangkan,” katanya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan isu MA63 antara yang menjadi keutamaan untuk ditanganinya selain fokus kepada kos sara hidup rakyat sebaik dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Loading...
Terkini