comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

[VIDEO] Industri sawit Malaysia catat pertumbuhan, transformasi luar biasa

KUALA LUMPUR: Industri kelapa sawit Malaysia menyaksikan pertumbuhan dan transformasi yang luar biasa sejak beberapa dekad yang lalu dipacu teknologi dan inovasi termaju.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata kemajuan yang didukung Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan peserta industri minyak sawit telah menggalakkan amalan pengeluaran mampan dan meningkatkan hasil kelapa sawit terutama membabitkan mekanisasi yang merevolusikan tugas seperti menuai dan meningkatkan kecekapan pengurusan perladangan.

“Malaysia telah mencapai kemajuan yang ketara dalam penyelidikan pembenihan dan bioteknologi, menghasilkan kejayaan membangunkan siri sawit klon dan program genom yang bertujuan untuk meningkatkan hasil dan mengurangkan risiko pencemaran,” katanya berucap pada Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa MPOB 2023 (PIPOC 2023).

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK) berkata, Malaysia telah mencapai pencapaian penting apabila berjaya menyusun genom kelapa sawit yang membawa kepada penemuan asas yang meningkatkan kecekapan amalan pembenihan kelapa sawit.

“Kerjasama penyelidikan lain yang telah menghasilkan penemuan saintifik termasuk sifat pemakanan dalam industri makanan, farmaseutikal dan industri makanan tambahan kesihatan.

“Sejak 1980-an, Malaysia komited kepada tenaga lestari, merintis pembangunan teknologi biodiesel berasaskan sawit, menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan kecekapan tenaga.

“MPOB mempunyai banyak teknologi yang boleh dikomersialkan, menawarkan peluang perniagaan yang memanfaatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara,” katanya.

Pada 2021, kerajaan, dengan kerjasama MPOB, menubuhkan Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP) yang memberi tumpuan untuk memanfaatkan teknologi mekanisasi dan automasi termaju bagi menangani kekurangan buruh dalam ladang kelapa sawit, mempromosikan masa depan yang lebih automatik dan produktif.

Untuk rekod, sektor sawit adalah antara penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia dengan pendapatan eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit melonjak kepada RM137.89 bilion pada 2022 daripada RM108.52 bilion pada 2021.

Minyak sawit Malaysia menyumbang 31 peratus daripada pasaran eksport minyak sawit dunia iaitu 51 juta tan tahun lalu.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini