comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Jenaka kecil Ramli untuk sembunyi kesedihan kerana kehilangan anak

GEORGE TOWN: Demi menghormati tetamu dan meskipun cuba membuat ‘lawak kecil’ Ramli Abd Hamid, 68, nyata gagal menyembunyikan kesedihan sebaik diminta menunjukkan gambar arwah anaknya, Komander Muhammad Firdaus.

Jelas dia sangat merindui Allahyarham.

Sementara itu, isteri Ramli, Indon Hussin, 67, ketika diminta mengulas mengenai anak mereka itu berkata Muhammad Firdaus adalah anak yang baik dan bertanggungjawab.

“Memang dia anak paling baik, bertanggungjawab. Semua anak-anak lain pun sangat baik. Cuma bila dia anak sulung, dia jadi contoh untuk adik-adik dia.”

“Walaupun dia duduk jauh, dia selalu telefon bertanya khabar ibu bapa, adik-adik. Apa yang berlaku di rumah, selalu macam itu.”

“Mak cik yakin, kalau mak cik meninggal dulu daripada dia, dia boleh jaga adik-adik tapi dia yang pi (pergi) dulu…Allah sayang dia tapi sedihnya dia tinggalkan anak yang masih kecil,” katanya.

Ramli dan isteri ditemui di rumah mereka di Taman Jerejak di sini hari ini.

Muhammad Firdaus adalah antara 10 anggota tentera yang terkorban apabila dua helikopter tentera bertembung di udara pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut di Perak, semalam.

Kejadian berlaku ketika kedua-dua helikopter itu sedang menyertai raptai perbarisan Sambutan TLDM Ke-90 yang dijadualkan Sabtu ini.

Muhammad Firdaus, 44, yang juga Pegawai Memerintah Skuadron 503 meninggalkan seorang isteri dan anak lelaki usia empat tahun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini