comscore
Tumpuan :
Nasional

Jenazah Nabil Mentor selamat dikebumikan

Adelia Citra Hapsari bersama anak bongsunya selepas selesai majlis pengebumian jenazah suaminya, Nabil Zamanhuri di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana di Ampang hari ini. – FOTO: NSTP

AMPANG: Jenazah Nabil Zafril Zamanhuri atau lebih dikenali sebagai Nabil Mentor, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, di sini, jam 6.20 petang, hari ini.

Ibunya Fatimah Abdullah ketika ditemui mengesahkan punca kematian anaknya adalah disebabkan serangan jantung hasil bedah siasat yang dilakukan tengah hari tadi.

“Hasil bedah siasat mungkin disebabkan dia (Nabil) terlalu sibuk bekerja, stres dan tidak menjaga makan dengan baik. Kata doktor ia sekali gus memberi kesan kepada gaya hidupnya,” katanya.

Jelas Fatimah, beberapa hari lalu Nabil ada memaklumkan kepadanya yang dia berasa tidak sedap perut dan sukar bernafas.

“Mungkin petanda itu sudah ada, tidur malam pun dia letak bantal pada bahagian belakang. Katanya sebab susah nafas hidung tersumbat. Tapi mungkin sudah masanya dia pergi, saya reda atas pemergiannya,” kata Fatimah lagi.

Walaupun reda, Fatimah memang terasa kehilangan satu-satunya anak lelakinya itu.

Dia berkongsi anaknya memang cukup sifat terpuji.

“Dia seorang anak yang taat dan pendengar setia. Kalau saya minta tolong, cepat sahaja dia sampai ke rumah saya. Dia selalu menasihati saya untuk banyak bersabar,” katanya.

Pada pengebumian itu, lebih 100 orang termasuk ahli keluarga, rakan artis dan kenalan terdekat hadir bagi memberi penghormatan terakhir.

Antaranya penyanyi Datuk Nora Ariffin, pelakon pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad dan personaliti media sosial, Ubai MZ.

Nabil, 37, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Bukit Indah di sini pagi tadi dipercayai akibat serangan jantung sebelum dikejarkan ke Hospital Ampang untuk bedah siasat.

Nabil mencipta nama menerusi program pencarian bakat, Mentor musim pertama di TV3 pada 2005 dan menyandang gelaran naib juara.

Arwah pernah menghasilkan satu album, Dari Jauh pada 2006 dan antara single nyanyiannya seperti Hati Ini, Hey Emma, Dari Jauh, Beku, Selangkah (OST Aladdin) dan Kenangan Lama (OST drama Ijab Kabut).

Dalam lakonan, dia pernah membintangi drama Seribu Erti pada 2007, Kerana Kirana 2 (2008), Kamelia Katrina (2009) dan Ijab Kabut (2022), selain filem Aladdin dan Boboiboy Movie 2 sebagai Kapten Kaizo (2019).

Nabil mendirikan rumah tangga dengan Adelia Citra Hapsari pada 2014.

Pasangan itu dikurniakan dua anak perempuan iaitu Aluna Calista, 7, dan Stara, 3.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini