comscore
Tumpuan :
Nasional

Jenazah Sarjan Faridah dibawa pulang ke tanah air Rabu ini 

Suami kepada Allahyarhamah Sarjan Faridah Abd Rahman, Noor Azmi Ariffin, 39 bersama anak keduanya Muhammad Afnan, 10 menunjukkan gambar arwah kepada pemberita di kediamannya di Kampung Sungai Mati hari ini.- FOTO: NSTP

PENDANG: Jenazah Pegawai Tidak Tauliah Kanan dari Batalion Malaysia 850-11 (MALBATT 850-11) bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL), Sarjan Faridah Abd Rahman, 39, dijangka dibawa pulang pada Rabu ini untuk pengebumian.

Suaminya, Noor Azmi Ariffin, 39, berkata perkara itu dimaklumkan oleh pegawai tentera yang berkunjung ke rumah mereka tengah hari tadi.

“Jangkaan paling awal jenazah isteri saya sampai ke sini hari Rabu, setakat ini itu saja maklumat yang saya terima tadi.

“Jenazah akan terus di bawa ke Tanah Perkuburan Islam Masjid Tualang di sini untuk dikebumikan, kami tidak merancang untuk bawa pulang ke rumah terlebih dahulu berikutan di sini kawasan sawah dan keadaan jalan di sini agak sempit,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Mati di sini, hari ini.

Noor Azmi yang juga merupakan bekas tentera berkata dia sangat berharap urusan membawa pulang jenazah isterinya dipermudahkan.

Ketika ditanya mengenai keadaan anak-anak mereka, beliau berkata anak sulungnya yang berusia 13 tahun kerap menangis selepas dimaklumkan kematian ibunya namun tetap bersemangat untuk pergi ke sekolah.

“Saya beri kata-kata semangat untuk dia, tiga orang lagi adiknya nampak ok, cuma yang bongsu saja tanya ummi dia,” katanya.

Noor Azmi berkata isterinya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika bercuti selama sebulan di sini kecuali kerap membeli mainan untuk dua orang anak mereka.

“Hampir setiap hari dia keluar akan bawa balik mainan untuk anak-anak ,sebelum ini dia tidak pernah beli mainan banyak seperti ini,” katanya yang kini mengusahakan sawah.

Ibu kepada Allahyarhamah Sarjan Faridah Abd Rahman, Salmah Hassan, 57 bercakap kepada pemberita di kediamannya di Kampung Sungai Mati hari ini.- FOTO: NSTP

Sementara itu, ibu kepada Allahyarhamah, Salmah Hassan, 57, berkata jenazah anaknya akan dikebumikan berhampiran kubur adiknya, Muhammad Farihan yang meninggal dunia pada 2013 akibat penyakit asma.

“Anak ketiga saya meninggal di pangkuan saya pada waktu subuh, sekarang kakak sulungnya pergi mengadap Illahi, mereka meninggal dalam keadaan yang baik dan saya reda.

“Saya ucapkan terima kasih kepada orang ramai termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tak henti-henti berkunjung ke rumah kami,” kata ibu kepada empat orang anak ini.

Allahyarhamah Faridah yang bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam MALBATT 850-11 di Kem Marakah, Lubnan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan MALBATT 850-11 apabila rebah setelah turun dari bas di Kem Marakah selepas pulang bercuti selama sebulan di sini.

Allahyarhamah disahkan meninggal dunia pada jam 2.25 pagi waktu Lubnan, Sabtu (7.25 pagi waktu Malaysia).

Arwah meninggalkan empat anak iaitu Nurul Syifa, 13; Muhammad Afnan, 10; Nurul Jannah, 7; (syndrome down) dan Ainul Mardiah, 4 tahun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini