comscore
Tumpuan :
Nasional

Jenis Ubat Dipreskrib Kepada Najib Adalah Sama – KP Kesihatan

 

Foto: Fail NSTP

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Jenis-jenis ubat yang dipreskrib kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semasa kemasukan wad adalah sama jenisnya dan dalam senarai ubatan Kementerian Kesihatan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, keadaan Datuk Seri Najib dilaporkan sihat sebelum dibenarkan discaj daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“KKM ingin memaklumkan bahawa Datuk Seri Najib telah dimasukkan ke HKL pada Jumaat, 9 September 2022 sebagai kes elektif (bukan kecemasan) untuk memastikan kesihatan beliau berada pada tahap yang baik dan optimum.

Pemeriksaan dan ujian berkaitan telah dijalankan oleh pakar-pakar perunding kanan bertauliah yang terdiri daripada ketua-ketua perkhidmatan klinikal bagi bidang masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

HKL juga telah mengadakan sidang keluarga (family conference) sebanyak dua kali yang telah dihadiri oleh bekas Perdana Menteri dan ahli keluarga beliau.

Keputusan ujian-ujian telah dimaklumkan semasa sidang tersebut mengikut amalan professional kedoktoran.

“Mereka juga telah dimaklumkan mengenai keputusan sebulat suara pakar-pakar perunding agar beliau dibenarkan untuk didiscaj daripada HKL,” katanya.

Terdahulu, Datuk Seri Najib dirujuk ke Hospital Kajang jam 2 petang tadi berikutan ubat darah tinggi baharu yang diambilnya menyebabkan kesan teruk ke atasnya.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram pada prosiding perbicaraan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dihadapi Datuk Seri Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

“Saya dimaklumkan oleh Jabatan Penjara bahawa ubat tekanan darah tinggi tertuduh ditukar dan ia menyebabkan kesan teruk kepadanya.

Bagaimanapun, dia boleh bertahan untuk berada di mahkamah dalam prosiding ini sehingga jam 12.30 tengah hari dan selepas itu perlu bersiap untuk dirujuk ke hospital pada jam 2 petang ini,” katanya.

Sementara itu, anak Ahli Parlimen Pekan berkenaan, Nooryana Najwa menerusi hantaran di laman Instagram berkata, doktor menemui banyak ulser baharu di bahagian dalam perut bapanya ketika endoskopi pada Sabtu lalu, iaitu masalah kesihatan berulang sejak lebih 15 tahun lalu.

Dakwanya, bapanya yang kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang meminta untuk menjalani pemerhatian di HKL.

Bagaimanapun, permohonan itu ditolak dan doktor telah discaj dan bapanya hadir ke mahkamah pagi tadi.

“Doktor juga telah menukar ubat-ubatan daripada jenis yang biasa dimakan sejak bertahun-tahun sebelum menghantar Datuk Seri Najib kembali ke (Penjara) Kajang.

“Pemeriksaan pagi tadi oleh pembantu perubatan menunjukkan bahawa tekanan darah Datuk Seri Najib sangat tinggi, mungkin disebabkan oleh pertukaran ubat yang telah dilakukan,” katanya.

Mengulas lanjut, Tan Sri Dr Noor Hisham berkata, KKM komited dan telus dalam pemberian perkhidmatan kesihatan kepada mana-mana individu.

“Namun pada masa yang sama (KKM) mempunyai tanggungjawab mematuhi tataetika kerahsiaan pesakit di bawah Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).

Sebarang maklumat terperinci mengenai kesihatan seseorang pesakit boleh dikemukakan kepada mahkamah sekiranya diarahkan mahkamah,” katanya.

Loading...
Terkini